NEW YORK, 9 APRIL – Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres telah menyatakan kebimbangan yang mendalam mengenai keganasan baharu di semenanjung Gaza dan memberi amaran tentang peningkatan selanjutnya di Timur Tengah, terutama sekali di bahagian Tebing Barat yang diduduki, lapor agensi akhbar Jerman (dpa).
Menurut Guterres di New York kelmarin, “Risiko Tebing Barat yang diduduki menjadi Gaza kedua hanya akan memburukkan keadaan.”
Beliau menggesa Israel dan masyarakat antarabangsa untuk menghormati undang-undang antarabangsa, “Kita mesti berpegang kepada prinsip teras kita. Negara anggota PBB mesti mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa. Dan mesti ada keadilan serta akauntabiliti apabila mereka gagal.”
Merujuk kepada krisis kemanusiaan di Gaza, Guterres berkata, “Dunia mungkin kehabisan kata-kata untuk menggambarkan keadaan di Gaza, tetapi kami tidak akan lari daripada kebenaran.
“Jalan yang sedang dilalui kini adalah jalan mati, sama sekali tidak boleh diterima di mata undang-undang dan sejarah antarabangsa.
“Saatnya sudah tiba untuk menamatkan korban kemanusiaan, melindungi orang awam, membebaskan tebusan, memastikan bantuan penting sampai dan memperbaharui gencatan senjata.” – Bernama
