RIO DE JANEIRO, 9 JAN – Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan tiga hilang selepas tebing runtuh menimpa bot yang membawa pelancong di sebuah tasik di Brazil, kata pihak berkuasa kelmarin.
Pasukan penyelamat termasuk skuad penyelam dan anggota tentera laut Brazil bergegas ke tasik Furnas di negeri Minas Gerais, di mana pelancong yang cemas melihat tanpa berdaya apabila serpihan bongkah batu jatuh dari gaung dan menghempap tiga bot pelancong.
Angka rasmi terkini ialah “tujuh maut dan tiga hilang,” kata jurucakap bomba Minais Gerias, Pedro Aihara kelmarin.
Manakala 32 lagi cedera, termasuk sembilan yang terpaksa dimasukkan ke hospital, kata pihak berkuasa.
Anggota bomba pada mulanya melaporkan 20 orang hilang, tetapi “jumlah itu berkurangan dengan ketara kerana sebahagian besar mangsa yang tidak diketahui adalah orang yang pergi ke hospital dengan cara mereka sendiri,” kata Aihara dalam mesej suara yang dihantar kepada pemberita.
Pelancong berpusu-pusu melihat dinding batu, gua dan air terjun yang mengelilingi perairan hijau tasik Furnas, yang dibentuk oleh empangan hidro elektrik dengan nama yang sama.
Video dramatik yang dikongsi di rangkaian sosial menangkap detik tepat apabila tebing jatuh menimpa ketiga-tiga bot tersebut.
Sementara itu, satu lagi video yang disiarkan di media sosial menunjukkan minit sebelum kejadian berlaku, di mana beberapa orang memberi amaran bahawa ‘banyak batu jatuh’ dan menjerit kepada penghuni bot lain supaya menjauhi diri dari dinding batu tersebut. – AFP
