LOS ANGELES, 7 MEI – Serangga besar dikenali sebagai ‘tebuan pembunuh’ telah ditemui buat pertama kalinya di Amerika Syarikat (AS), mencetuskan kebimbangan ia mungkin menghapus koloni lebah madu dan mewujudkan sensasi di media sosial.
Dua daripada penyengat itu – spesies tebuan terbesar di dunia – ditemui pada akhir tahun lalu di negeri barat Washington, dan saintis telah berusaha untuk menjejaki serangga tersebut untuk membasminya.
Karla Salp, jurucakap Jabatan Pertanian Negeri Washington, berkata masih tidak jelas bagaimana tebuan gergasi Asia – yang mempunyai tanda jingga dan hitam dan berukuran dua inci panjang – tiba di Amerika Syarikat.
“Biasanya, ia merupakan pengembara tumpang pada sesuatu (seperti kontena kapal) atau pun seseorang,” beritahu Salp kepada AFP.
Ahli sains mengesyaki mungkin terdapat lebih banyak serangga selain daripada dua yang ditemui pada tahun lalu, di mana satu kempen awam telah pun dilancarkan untuk membantu dalam usaha pembasmian.
Saintis mengingatkan melainkan serangga itu dihapuskan dalam tempoh beberapa tahun akan datang, ia mungkin merebak di Amerika Utara dan menjadi tempat tinggal tetap haiwan itu. – AFP
