Tebuan resahkan penduduk

SERIA, 2016 – Beberapa penghuni RPN Kampung Lumut, di sini melahirkan rasa bimbang terhadap bahaya sarang tebuan yang semakin membesar melekat di bahagian bumbung salah sebuah rumah di simpang kawasan perumahan itu.

Beberapa orang penduduk di kawasan berkenaan memberitahu, amat sukar bagi mereka melakukan aktiviti luar rumah sejak kemunculan sarang tebuan kerana tebuan-tebuan itu berterbangan, malah pernah menyengat beberapa orang yang berdekatan kawasan itu sebelum ini.

Penghuni rumah itu juga telah pernah disengat tebuan dan menurut seorang jiran, perkara itu sudah diadukan kepada pihak berkenaan, tetapi sebaliknya menyerahkan kembali kepada penghuni rumah untuk mencari kontraktor berbayar menghapuskannya.

Seorang lagi jiran terdekat, yang enggan namanya disiarkan pula memberitahu, sarang tebuan itu sudah berada di bumbung rumah hampir dua tahun, dan sudah ada mangsa sengatan tebuan itu.

Katanya, pemilik rumah sudah membuat aduan bulan lepas, tetapi setelah diserahkan untuk mencari kontraktor menghapuskannya, dia terpaksa mendiamkan diri keran tidak mampu untuk membayar upahnya.

“Kami sendiri tidak berani melakukan kerja memotong rumput di kawasan berdekatan.

Bukan itu saja, untuk memanaskan enjin kereta pun kami takut, kerana tebuan akan datang,” kata seorang jiran.