Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Tebus hinaan 17 tahun lalu’

    Tangkai hatinya pernah terguris oleh mulut lancang yang mempersoalkan pemilihannya sebagai pengacara, hanya kerana tidak memiliki kecantikan seperti yang dimahukan dalam industri penyiaran.

    Meskipun cemuhan amat sakit untuk ditelan, namun atas galakkan dan kata-kata semangat diberikan orang sekeliling, pengacara yang wajahnya cukup sinonim dengan program Wanita Hari Ini (WHI), Fiza Sabjahan nekad untuk terus mengejar impiannya itu.

    Ternyata, pengorbanan dan komen negatif dilemparkan menjadi pembakar semangat untuknya berusaha keras hingga akhirnya dinobatkan sebagai Pengacara TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa 2024 (ASA 2024) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.

    Pengalaman yang berlaku 17 tahun turut dikongsikan Fiza atau nama sebenar, Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan, 42, ketika berucap selepas menerima trofi kemenangan.

    Mengulas lanjut perkara itu, Fiza berkata, pengalaman pahit itu dilalui ketika mula ditugaskan untuk mengacarakan program popular, Nona.

    Fiza pernah terguris hati dihina tak cukup cantik sebagai pengacara. – mStar

    “Ketika itu, ada suara-suara merasakan saya tak cukup cantik untuk mengemudikan program Nona.

    “Bagaimanapun, ada ramai juga yang saya tak kenali berkata untuk menjadi penga-cara apa yang diutamakan adalah bakat.

    “Sentiasa percaya pada rezeki Allah, berusaha gigih dan pasti penonton akan hargai bakat kita.

    “Justeru, saya terus berusaha, buat kerja dengan sebaik mungkin dan Alhamdulillah, akhirnya usaha saya mendapat pengiktirafan,” katanya kepada BH Online.

    Ditanya apakah pesanan boleh dititipkan pada pelapis yang berminat untuk menjadi pengacara, namun tidak mempunyai pakej lengkap, Fiza berharap percaya dengan bakat mengatasi segala-galanya.

    “Saya percaya kalau berusaha bersungguh-sungguh dan berdiri atas bakat kita, insya-Allah orang lain atau penonton akan menilai berdasarkan bakat dan bukan sekadar rupa,” ujarnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda