Monday, February 10, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tebusan Thai di Gaza tiba di Bangkok

    BANGKOK, 9 FEB – Keluarga pekerja ladang Thailand yang menjadi tebusan di Gaza selama lebih setahun berasa gembira dengan kepulangan mereka apabila tiba di Bangkok hari ini.

    Lima warga Thailand itu tersenyum ketika mereka masuk ke balai ketibaan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok selepas dibebaskan pada 30 Januari, sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang bertujuan menamatkan perang Gaza.

    Kelima-lima mereka Watchara Sriaoun, Pongsak Tanna, Sathian Suwannakham, Surasak Lamnau dan Bannawat Saethao mendarat di Bangkok pada 7:30 pagi hari ini dan dialu-alukan oleh sekumpulan kecil saudara-mara dan pegawai-pegawai daripada kementerian luar negeri.

    Pongsak berkata kepada pemberita bahawa dia kehilangan kata-kata apabila dia melihat keluarganya.

    “Saya berterima kasih kepada semua yang membantu kami. Kami tidak akan berada di sini hari ini jika bukan kerana mereka. Kami akhirnya boleh kembali ke tanah air,” katanya.

    Somboon Saethao, bapa kepada Bannawat, berkata dia sangat gembira dan keluarganya akan meraikan kepulangan anaknya dengan upacara tradisional Thai.

    “Saya rasa saya tidak mahu dia berada jauh dari rumah lagi,” kata Somboon, yang berasal dari wilayah Nan di utara Thailand, kepada AFP.

    Bannawat berpindah ke Israel sembilan bulan sebelum penculikannya untuk mencari pendapatan yang lebih baik untuk keluarga, tambahnya.

    Menteri Luar, Maris Sangiampongsa, berkata kepulangan mereka sangat memberi inspirasi, dan pegawai akan memantau penyepaduan semula mereka ke dalam masyarakat Thai, dengan memberi tumpuan kepada kesihatan mental mereka. – AFP

    Lima tebusan Thailand yang dibebaskan dari Hamas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Pramutkar Thailand pada 9 Februari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda