PORT MORESBY, 26 FEB – Tiga tebusan, termasuk seorang ahli arkeologi New Zealand, dibebaskan di Papua New Guinea hari ini selepas rundingan tegang antara polis dan penculik bersenjata di tanah tinggi yang berceranggah di negara itu.
Profesor Bryce Barker bersama dua rakannya dari Papua New Guinea, dilihat berjalan melintasi landasan bersama polis di lapangan terbang Port Moresby selepas pegawai mengumumkan pembebasan mereka.
“Ia adalah minggu yang stres bagi semua yang terlibat dan akhirnya tebusan kembali dengan selamat dalam tahanan anggota keselamatan kami yang sangat penting bagi kami sebagai sebuah negara,” kata Perdana Menteri PNG, James Marape.
Barker – seorang profesor di Universiti Queensland Selatan Australia – dan dua wanita itu telah dijadikan tebusan dengan diacukan senjata Ahad lalu di kawasan terpencil dan kawasan hutan rimba berhampiran Gunung Bosavi – kira-kira 570km barat laut Port Moresby.
Marape berkata ketiga-tiga mereka kelihatan tidak cedera walaupun ‘jelas trauma’ selepas ‘jenayah oportunis rambang’.
Awal minggu ini, penculik membebaskan seorang lagi wanita yang juga sebahagian daripada kumpulan ahli akademik yang bekerja di kawasan itu apabila mereka diculik.
Polis telah berunding dengan penawan tebusan, yang pada mulanya menuntut wang tebusan sebanyak AS$1 juta – jumlah yang sangat besar di salah satu negara termiskin di Pasifik – sebelum menurunkan harga yang diminta dan memberi tarikh akhir 24 jam.
Menteri luar Australia dan New Zealand menyambut baik berita itu dan berterima kasih kepada pihak berkuasa PNG atas kerja mereka.
“Saya mengalu-alukan berita dari PNG bahawa semua tebusan telah dibebaskan dan tidak lama lagi akan disatukan dengan keluarga mereka,” kata Menteri Luar Australia, Penny Wong.
Marape berkata, tebusan telah dibebaskan selepas ‘operasi rahsia’ dan permintaan wang tebusan asal belum dibayar – tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
“Kami memohon maaf kepada keluarga mangsa yang dijadikan sebagai tawanan demi wang tebusan,” kata Marape.
“Kepada penjenayah, tidak ada keuntungan dalam jenayah. Kami bersyukur kepada Tuhan kerana nyawa telah dilindungi.”
Polis kini sedang mencari kumpulan bersenjata itu, tambahnya. – AFP