Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    TechXpo buka tirai

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Ekspo Teknologi Brunei (TechXpo) 2019 membuka tirainya hari ini di Dewan Bridex, Jerudong di mana ia akan berlangsung selama empat hari.

    Perasmian ekspo berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.

    Ekspo berkenaan merupakan satu platform bagi para pempamer untuk mempamerkan produk-produk, perkhidmatan, trend, perkembangan dan buah fikiran mereka dengan teknologi dari Brunei dan seluruh dunia.

    TechXpo menawarkan pelbagai peluang untuk menjalin rangkaian perniagaan dan mencari prospek baharu dalam sektor teknologi bagi peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

    Salah satu acara kemuncak dalam TechXpo 2019 adalah Pertandingan Permainan Siber TechXpo 2019 yang ditaja oleh DST dan TelBru selaku Penaja Platinum acara berkenaan. Pertandingan dianjurkan oleh D’Sunlit Sdn Bhd bersama Sigma Cyberspace selaku pengurus acara permainan siber.

    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi ketika meninjau salah satu petak pameran di TechXpo, Dewan Bridex, Jerudong.

    Pertandingan menawarkan hadiah berjumlah $17,000 keseluruhannya untuk enam permainan, yang mana 100 pasukan akan bertanding dalam permainan-permainan siber.

    Tambahan lagi, orang ramai juga boleh bertemu dan berinteraksi dengan robot humanoid, Pepper, Tapia dan Kinova Arm.

    Aktiviti lainnya yang juga menjadi tarikan ialah pameran kereta yang dibawakan oleh QAF Eurokars Sdn Bhd, NBT, Proton Brunei dan Setia Motors Sdn Bhd yang mempamerkan kereta Hyundai terkini.

    Turut mempamerkan produk-produk ialah TelBru, Concepts Computer, dan banyak lagi. Para pengunjung juga berpeluang menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah-hadiah lumayan.

    TechXpo 2019 dianjurkan oleh InfoCom Federation Brunei (IFB), organisasi tanpa menjana keuntungan yang memberi suara kepada industri ICT di Brunei Darussalam, bersama D’Sunlit Sdn Bhd selaku pengurus acara yang dilantik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda