Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    TechXpo kembali lagi Ogos ini

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – TechXpo 2025 mencapai satu lagi mercu tanda penting dengan penganjuran Majlis Menandatangani Penaja dan Rakan Kongsi yang berlangsung di Dewan Serbaguna, D’Sunlit Sdn Bhd, hari ini.

    Majlis berkenaan menandakan kerjasama strategik dan perkongsian yang bakal menggerakkan penganjuran TechXpo 2025, yang dijadualkan berlangsung dari 14 hingga 16 Ogos tahun ini di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, dengan tema Innovate Tomorrow.

    Majlis penandatanganan berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi InfoCom Federation Brunei (IFB), Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff dan Ketua Komunikasi Korporat D’Sunlit Sdn Bhd, Chui San Ting mewakili pihak penganjur acara.

    Antara yang menandatangani memorandum perjanjian (MoA) berkenaan ialah Brunei Press Sdn Bhd selaku rakan media rasmi oleh Pengurus Besar Brunei Press Sdn Bhd, Dayang Anafiah binti Omar dan yang turut disaksikan oleh Pengurus Kanan – Kewangan dan Operasi Brunei Press Sdn Bhd, Suzie Houng.

    Penandatanganan diteruskan dengan MoA oleh para penaja dan rakan kongsi terdiri daripada UNN Sdn Bhd, Imagine Sdn Bhd, Huawei Technologies (b) Sdn Bhd, Universiti Teknologi Brunei (UTB), Aewon Garment & Embroidery Sdn Bhd, Oregon Systems dan yang lain-lain.

    TechXpo 2025 telah dianjurkan bersama IFB, iaitu sebuah badan bukan berasaskan keuntungan yang menjadi suara industri ICT negara, bersama D’Sunlit Sdn Bhd selaku pengurus dan kontraktor acara yang dilantik serta dengan sokongan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC).

    Penganjuran acara tersebut dilihat selaras dengan agenda kebangsaan Brunei Darussalam ke arah menjadi Negara Pintar dan memperkukuh kedudukan sebagai ekonomi berasaskan pengetahuan serta berdaya tahan digital.

    Acara itu juga bertujuan untuk menghidupkan kembali rasa ingin tahu dan kekaguman terhadap penemuan teknologi serta memberi penghargaan kepada inovator yang membentuk masa depan.

    Antara acara utama yang diumumkan dalam majlis berkenaan ialah pengenalan zon khas ‘NextWave’, yang akan menampilkan syarikat pemula teknologi tempatan, usahawan baharu, dan pencipta digital.

    Inisiatif itu memberi platform kepada bakat tempatan untuk mengetengahkan inovasi kreatif dan penyelesaian teknologi peringkat awal.

    Turut diumumkan ialah kembalinya Pertandingan E-Sukan yang dinanti-nantikan, dengan menampilkan permainan popular PUBG Mobile dan FC25 (konsol) yang dijangka menarik minat golongan belia dan peminat permainan digital.

    Seiring dengan kemajuan negara dalam transformasi digital, TechXpo 2025 mengalu-alukan penyertaan dari semua lapisan masyarakat dalam pameran yang penting secara nasional ini, yang menekankan kepentingan inovasi, kerjasama strategik dan kemajuan teknologi.

    Sebagai tambahan kepada acara utama, Forum Ketua Pegawai Eksekutif ICT bagi Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan Mesyuarat Kluster ICT BIMP-EAGA turut akan diadakan serentak, yang akan menghimpunkan pegawai kanan kerajaan, eksekutif industri dan profesional ICT dari negara anggota rantau BIMP-EAGA bagi mengukuhkan kerjasama serantau dalam teknologi digital.

    TechXpo 2025 juga akan menampilkan Bengkel Kecerdasan Buatan (AI) yang dikendalikan oleh jurulatih utama AI bertauliah dari UTB, sebagai sebahagian daripada Program AI-Ready ASEAN Negara Brunei Darussalam.

    Bengkel tersebut direka untuk memberi pendedahan asas kepada masyarakat mengenai AI, aplikasi dunia sebenar, trend terkini dan amalan etika.

    Orang ramai termasuk pelajar, profesional, pendidik dan usahawan dialu-alukan untuk menyertai bengkel berkenaan yang bersifat interaktif dan mesra pemula.

    Pameran TechXpo 2025 juga akan menyediakan ruang pameran yang menyeluruh dan interaktif untuk menarik minat seisi keluarga, pelajar dan peminat teknologi.

    Pelawat akan turut berpeluang untuk meneroka paparan imersif, menyaksikan demonstrasi secara langsung serta berinteraksi dengan teknologi pengguna terkini.

    Bagi memeriahkan lagi acara, satu cabutan bertuah utama akan diadakan dengan hadiah-hadiah menarik termasuk produk teknologi terkini dari luar negara seperti XReal Air 2 Ultra AR Glasses, Robot Teman Ebo Air 2 Plus dan banyak lagi.

    Orang ramai, para inovator, pihak berkepentingan serta komuniti umum dijemput hadir dan bersama-sama menyemarakkan semangat Innovate Tomorrow.

    Untuk maklumat terkini dan pengumuman rasmi, orang ramai boleh mengikuti ‘Brunei Technology Expo – TechXpo’ di Facebook dan @techxpobn di Instagram.

    Antara yang menandatangani memorandum perjanjian (MoA) berkenaan ialah Brunei Press Sdn Bhd selaku rakan media rasmi.
    Gambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda