GENEVA, 29 OKT – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini mengumumkan ketuanya, Tedros Adhanom Ghebreyesus, adalah calon tunggal kepemimpinan agensi itu apabila penggalnya tamat pada Ogos 2022.
Bekas Menteri Kesihatan dan Luar Etiopia berusia 56 tahun itu berada di barisan hadapan dalam memerangi pandemik COVID-19 sebagai Ketua WHO selepas dipilih ke jawatan itu pada 2017.
WHO berkata Tedros selaku penyandang jawatan Setiausaha Agung WHO, mendapat sokongan 28 negara, termasuk Perancis, Jerman, Indonesia, Belanda dan Sepanyol.
Tarikh akhir pencalonan ialah 23 September depan dengan setiap negara akan menyerahkan sampul surat tertutup yang tidak akan dibuka sebelum 1 Oktober depan kepada WHO.
Pada 2017, Tedros menjadi warga Afrika pertama mengetuai agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.
Beliau menjadi wajah WHO sejak permulaan krisis COVID-19 dan agak popular kerana peranannya dalam mengemudi usaha pertubuhan menyelaraskan tindak balas pandemik.
Bagaimanapun, pencalonannya menimbul masalah selepas Etiopia mendakwa menarik balik sokongannya susulan konflik di wilayah asalnya di Tigray.
Tedros membangkitkan kemarahan kerajaan Addis Ababa dengan menggunakan pentas WHO bagi mengutuk tindakan keras di Tigray.
Negara anggota secara rasmi akan mengundi Ketua WHO seterusnya dalam undian rahsia pada Mei depan ketika Perhimpunan Kesihatan Sedunia, mesyuarat tahunan utama pertubuhan itu yang membabitkan semua negara anggota. – AFP
