Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tedros gesa tindakan tegas produk nikotin

    GENEVA, 18 NOV – Rokok elektronik pakai buang berpenampilan menarik serta pek nikotin berperisa manisan kini menjadi antara produk baharu yang menyasarkan golongan muda dan mencetuskan gelombang baharu ketagihan tembakau serta nikotin, menurut amaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kelmarin.

    Berucap pada pembukaan sidang global mengenai kawalan tembakau, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan mendadak jumlah kanak-kanak yang terjerumus kepada produk baharu tersebut.

    Laporan WHO yang dikeluarkan bulan lalu menganggarkan hampir 15 juta remaja di seluruh dunia kini menggunakan rokok elektronik, katanya pada Mesyuarat Negara Pihak ke-11 kepada Konvensyen Rangka Kerja WHO mengenai Kawalan Tembakau (FCTC).

    Tedros turut memuji kemajuan besar yang dicapai dalam beberapa dekad kebelakangan ini dalam usaha mengekang tabiat merokok yang membawa maut, meskipun lebih lapan juta orang di seluruh dunia masih dianggarkan meninggal dunia setiap tahun akibat penyakit berkaitan tembakau.

    Dalam tempoh 20 tahun lalu, penggunaan tembakau dalam kalangan remaja “telah menurun sebanyak satu pertiga di peringkat global,” jelasnya, sambil menambah bahawa perkembangan itu mendorong “pengeluar tembakau mencipta produk baharu bagi menarik pelanggan baharu.”

      Agensi kesihatan PBB itu turut mempersoalkan pemasaran industri tembakau terhadap vape dan produk baharu lain sebagai alternatif lebih selamat berbanding produk tembakau tradisional serta sebagai alat berhenti merokok.

     “Tiada bukti manfaat bersih terhadap kesihatan awam, malah semakin banyak bukti menunjukkan kemudaratannya,” tegas Tedros, sambil mengecam penggunaan produk tersebut untuk merekrut perokok muda.

    Laporan WHO terkini, katanya, menunjukkan sebanyak “63 negara yang mempunyai data, kadar penggunaan vape dalam kalangan remaja secara purata sembilan kali lebih tinggi berbanding orang dewasa.”

    Ketua WHO itu berkata, pihaknya menggesa semua negara mengawal selia pek nikotin, rokok elektronik dan tembakau dipanaskan “sekurang-kurangnya setegas kawal selia terhadap produk tembakau konvensional.” – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda