Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Syarikat Tefozepoint telah dimasukkan ke dalam Alert List Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) yang telah dikemaskinikan oleh BDCB.
Dalam kenyataan BDCB, Alert List merupakan senarai entiti-entiti iaitu syarikat dan individu yang berdasarkan maklumat yang tersedia kepada BDCB pada masa penerbitan, mungkin atau berkemungkinan telah disalah anggap sebagai dilesenkan atau diberikan kebenaran, kelulusan atau dikawal selia oleh BDCB.
Senarai itu adalah tanpa prejudis kepada sebarang penilaian lanjut oleh BDCB mengenai aktiviti-aktiviti entiti berkenaan. BDCB juga ingin menasihatkan orang ramai supaya hanya berurusan dengan institusi-institusi kewangan yang berlesen dan seterusnya, untuk berwaspada terhadap entiti atau individu tidak berlesen yang menjalankan atau menawarkan perkhidmatan kewangan terutamanya yang berunsurkan skim cepat kaya dan skim piramid.
Antara perkhidmatan kewangan di bawah bidang kuasa BDCB adalah penukaran wang, pengiriman wang dan pinjaman wang.
Orang ramai juga diingatkan bahawa perlindungan di bawah rangka kerja penyeliaan BDCB tidak dapat diberikan kepada sesiapa yang memilih untuk berurusan dengan entiti, syarikat atau individu yang tidak dilesen atau dikawal selia oleh BDCB.
