Penyanyi Tegar Septian sekali lagi berdepan dengan masalah kewangan sehingga menyebabkan dia gagal membayar sewa rumah yang turut didiami oleh kedua ibu bapanya.
Disebabkan masalah itu, pemilik rumah sewa berkenaan meminta keluarga Tegar, 22, mengosongkan premis tersebut kerana mahu diberikan kepada bakal penyewa baharu.
“Saya kesian dengan orang tua. Kalau tidak bayar orang tua mahu tidur di mana? Apa lagi yang harus saya lakukan? Saya perlu bayar sewa rumah,” katanya.
Bekas peserta Big Stage 2022 itu berkongsi perkara tersebut menerusi beberapa hantaran di Instastory miliknya.
Menerusi paparan perbualan WhatsApp dengan ibunya, Tegar mendedahkan wanita berkenaan tidak makan sejak beberapa hari disebabkan masalah kewangan.
Dalam masa sama, Tegar juga menjelaskan antara punca dia berdepan dengan situasi sebegini adalah disebabkan sering ditipu dan tidak menerima wang royalti kerjaya seninya.
“Kenapalah jadi begini… Saya sering kena tipu. Semoga awda semua faham apa maksud saya. Royalti pun saya belum dapat sepenuhnya,” jelasnya.
Dalam masa sama, Tegar juga dilihat berjalan-jalan di sebuah kawasan sunyi tanpa arah tujuan susulan masalah yang dialami.
Tegar sebelum ini juga pernah mendapat perhatian ramai apabila dia dilihat kembali menjadi penyanyi jalanan dek kerana kurang tawaran persembahan. – Agensi
