BANDAR SERI BEGAWAN, 15 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam petang tadi berkenan menerima mengadap Menteri Luar Negeri Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan yang mengadakan lawatan pengenalan ke negara ini.
Semasa majlis mengadap yang berlangsung di Istana Nurul Iman tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Tuan Yang Terutama menyentuh mengenai persahabatan dan kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia yang berkekalan dan terus makmur selama ini, di mana tahun 2024 menandakan sudah empat dekad tertubuhnya hubungan diplomatik.
Kedua-dua pihak juga menegaskan kembali komitmen masing-masing bagi mengukuhkan kerjasama sedia ada dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan, pertahanan, pelancongan, kebudayaan, sukan dan kesihatan, di samping untuk meneroka lagi perkara-perkara yang mempunyai kepentingan bersama bagi kedua-dua buah negara berkenaan.
Menyertai Tuan Yang Terutama semasa majlis mengadap tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah.
Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof.



