Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tegur cara baik, elak sengketa

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Walaupun amalan saling menegur dan memberi nasihat dapat memberikan manfaat ke arah kebaikan, namun akhlak dan adab dalam menyampaikan teguran mestilah sentiasa dijaga.

    Ini kerana, tanpa adab dan tatacara yang betul, ia bukan sahaja boleh menimbulkan salah faham, bahkan boleh menimbulkan kemarahan sehingga menyebabkan terjadinya permusuhan dan persengketaan.

    Perkara tersebut ditegaskan oleh khatib dalam khutbah Jumaat hari ini dengan tajuk, Teguran dan Nasihat Biarlah Berhemah.

    Beliau seterusnya menjelaskan bahawa teguran, kritikan, aduan, pandangan atau apa pun istilah yang digunakan, mestilah disampaikan berlandaskan sifat yang wajar. Ia hendaklah dilakukan dengan tidak dipe-ngaruhi perasaan dan emosi yang berlebihan sehingga boleh menzalimi, menjatuhkan maruah, mempersendakan, menghina, mengaibkan dan seumpamanya.

    Menurut khatib lagi, penerimaan orang terhadap teguran adalah berbeza kerana tidak semua orang boleh menerima sebarang teguran dengan baik.

    Gambar oleh Muiz Matdani

    Beliau turut mengingatkan, kita mestilah sentiasa berlapang dada dan menerima setiap teguran dan nasihat dengan hati yang terbuka.

    Antara adab dan kaedah teguran adalah dengan menyampaikannya menggunakan gaya bahasa yang paling sesuai iaitu lembut dan bersopan.

    “Jangan sesekali menegur dengan menggunakan nada suara yang tinggi dan kata bahasa yang kasar kerana kita menegur bukan untuk mendedahkan aib orang,” tambahnya.

    Selain itu, elakkan daripada menegur kesalahan seseorang di khalayak ramai. Lihatlah situasi dan keadaan terlebih dahulu.

    Seterusnya, teguran hendaklah disampaikan dengan cara yang bijaksana dan menggunakan perkataan yang baik dan bermanfaat supaya tidak menyinggung perasaan orang yang ditegur, berhati-hati dalam memilih perkataan yang sesuai supaya orang tidak berasa terhina dan rendah diri.

    “Berilah nasihat dengan akal fikiran dan bukan dengan emosi, selain memberi teguran dan nasihat juga hendaklah sebagaimana yang diinginkan cara diri kita sendiri ditegur atau dinasihati,” tegasnya.

    Khatib turut menyarankan supaya teguran dan nasihat dilakukan secara bersemuka dan bukan dengan menggunakan perantaraan orang lain.

    Orang yang menegur hendaklah meminta maaf selepas membuat teguran kerana tujuan meminta maaf itu adalah untuk memujuk hati orang yang ditegur supaya tidak terasa hati atas teguran yang telah diberikan.

    Khatib seterusnya menjelaskan, perubahan gaya hidup masyarakat yang dikuasai oleh penggunaan media sosial menyediakan ruang interaksi dan komunikasi tanpa batasan yang kadang kala membuat kita terlalai tentang adab dan akhlak dalam menyampaikan teguran dan nasihat.

    Dalam perkara itu, tegas khatib, kita perlu bersikap bijak dengan memastikan ayat-ayat atau perkataan yang hendak digunakan adalah bersesuaian, kerana media sosial adalah tempat umum dan terbuka yang boleh menimbulkan pelbagai andaian dan pandangan sama ada positif atau negatif.

    Sehubungan itu, khatib dalam khutbahnya menyeru untuk sama-sama muhasabah diri agar mengembalikan semula tujuan sebenar sesuatu teguran dan nasihat dilakukan agar ia dapat memberikan manfaat kepada orang lain dan bukannya mengundang kemudaratan yang menyemarakkan api perbalahan dan permusuhan.

    “Terimalah teguran dengan bersangka baik supaya dapat memperbaiki diri dan mengeratkan silaturahim antara kita,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda