Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teh unik daripada najis ulat

    TOKYO – Jika kopi, kita sudah mengetahui sebahagiannya dihasilkan secara alami daripada najis binatang seperti burung, gajah dan lain-lain lagi binatang di hutan, namun teh biasanya hanya dipetik dari ladang-ladang teh.

    Walau bagaimanapun, seorang penyelidik Jepun, Tsutoshi Maruoka dari Universiti Kyoto, telah menemui teh jenis baharu yang dinamakannya Chu-hi-Cha.

    Menurut laporan Oddity Central, Chu-hi-cha unik kerana ia bukanlah dipetik dari ladang tetapi membabitkan najis ulat pemakan pelbagai tumbuhan.

    Maruoka memperkenalkan idea teh ulat itu semasa pengajian ijazah sarjananya di Fakulti Perhutanan Universiti Kyoto dengan menyelidik hubungan misteri antara haiwan dan tumbuhan.

    Menurutnya, suatu hari seorang pelajar senior membawa 50 larva rama-rama Gipsi ke dalam makmal dan memberitahu Maruoka bahawa ia adalah cenderahati untuknya. Pada awalnya, dia tidak tahu apa yang harus dilakukan dengannya, tetapi akhirnya memutuskan untuk menjaganya dan memilih beberapa daun dari pokok ceri berhampiran serta memberi makan ulat itu.

    Ramuan teh hitam tetapi setelah menjadi air teh, ia jernih dan berbau wangi, kata Maruoka. – Agensi
    Najis ulat yang memakan tumbuhan dikumpulkan oleh Maruoka. – Agensi

    Semasa membersihkan kotoran dan najis yang ditinggalkan oleh ulat, dia mendapati bahawa ia mempunyai bau yang menyenangkan dan hampir segera terinspirasi untuk membuat teh daripadanya.

    “Ini akan berjaya!” kata Maruoka kepada dirinya sendiri dan nalurinya benar. Bukan hanya warna gelap kotoran memberikan teh warna yang menyenangkan, tetapi minuman itu berbau bunga ceri dan mempunyai rasa yang luar biasa.

    Eksperimen yang berjaya ini mendorong penyelidik untuk menerokai jenis teh ini lebih lanjut.

    Projek Teh Chu-hi-cha tidak terbatas pada najis rama-rama Gipsi yang memakan daun pokok ceri, meskipun itulah permulaannya. Maruoka sudah bereksperimen dengan sekitar 40 jenis tumbuhan dan 20 haiwan dan larva, dan hasilnya sangat menggalakkan. Tetapi dengan ribuan tumbuhan dan haiwan di seluruh dunia, kombinasi hampir tidak terbatas.

    Maruoka mendakwa bahawa ‘aroma dan rasa Chu-hi-cha berubah mendadak bergantung kepada jenis tumbuhan dan haiwan yang digabungkan.’

    Tumbuhan mentah mempunyai rasa astringen dan pahit yang boleh mencegah binatang memakannya, tetapi beberapa haiwan telah berkembang untuk meneutralkan rasa ini dengan bantuan enzim dalam sistem pencernaannya.

    Dalam bentuk najis, tumbuhan yang diproses tidak lagi astringen atau pahit dan agak mengejutkan ia menjadi agak wangi. Maruoka memulakan kempen mengumpulkan dana di platform Camp-Fire Jepun dan sudah pun mencapai tujuan meraih 1 juta yen (AS$7,800), dengan berbaki 11 hari dan dijangka memperolehi angka 2 juta yen (AS$15,600) dananya.

    Penyokong Camp-Fire akan menerima sampel dua jenis Chu-hi-cha yang tersedia pada masa ini, ‘Sakura x Iraga’ (berasaskan daun ceri) dan ‘Kuri x Omizuao’ (berasaskan daun kastanye).

    Menariknya, terdapat orang yang telah meminum teh daripada najis ulat sutera yang memakan daun teh sebagai ubat selama beratus-ratus tahun.

    Kajian menunjukkan bahawa minuman tersebut adalah sumber terbesar flavonoid bioaktif.
    Namun, Chu-hi-cha adalah jenis teh komersial pertama yang dibuat dari najis ulat sutera. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda