Oleh Mohd Fazil Ahmad
ALOR SETAR – Seorang ibu tunggal yang meniti usia emas tekad menjadi seorang tukang kasut di kaki lima bangunan di sini untuk menyara kehidupannya walaupun perkerjaan itu kebiasaannya dilakukan golongan lelaki.
Rasilah Salleh, 63, berkata dia tidak berasa malu memilih pekerjaan itu sebagai sumber rezeki selepas berhenti daripada menjual air di stesen bas lama di pusat bandar raya ini tiga tahun lepas.
“Sayalah tukang kasut wanita yang ada di sini dan sering menjadi tumpuan pelanggan yang datang minta saya jahitkan sandal, kasut but, kasut sukan, kasut pejabat, selipar dan kasut kanak-kanak. Alhamdulillah, saya mampu memperoleh RM40 hingga RM100 sehari bila cuaca cerah, pendapatan itu cukuplah untuk saya beli barang dapur dan bayar bil-bil di rumah,” katanya ketika ditemui Bernama.
Katanya, menjadi tukang kasut bukanlah sesuatu yang mudah dan beliau mempelajari kemahiran menjahit kasut daripada anak sulungnya yang turut melakukan pekerjaan itu. Rasilah berkata dia mengambil masa kira-kira enam bulan mempelajari teknik jahitan kasut sebelum berani membuka stor jahitan sendiri di kaki lima di Jalan Selamat, di sini.
“Saya bersyukur kerana sejak menjadi tukang kasut, ramai pelanggan yang datang terdiri daripada penjawat awam dan pekerja syarikat swasta yang menyukai jahitan saya,” katanya yang tinggal di rumah pangsa Tongkang Yard, di sini.
Bagaimanapun, Rasilah tidak bersendirian melakukan pekerjaan itu kerana dia turut dibantu seorang pekerja yang juga jirannya Faridah Rejab, 45. Faridah yang kehilangan suami dalam kemalangan jalan raya lima bulan lepas memilih membantu Rasilah bagi mencari rezeki demi menyara dua anaknya yang masih bersekolah.
“Selepas kematian suami, saya hilang tempat bergantung, mujur saya sempat belajar jahit kasut daripada arwah suami yang juga tukang kasut sebelum ini dan kemahiran itu saya guna untuk membantu Rasilah,” katanya yang mempunyai anak berusia 16 dan 12 tahun. – Bernama
