Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Lebih 40 orang kontraktor dan pakar perunding telah menghadiri taklimat khas mengenai ‘Industry Leading Digital Capabilities’ anjuran ABB Global Marketing, hari ini.
Hadir pada taklimat yang diadakan di Pejabat ABB Global Marketing, Blok B, Kompleks Eng Ho, Jalan Tungku Link itu ialah Pengarah Urusan Negara ABB Vietnam dan Brunei, Brian David Hull; Eksekutif Bantuan Perniagaan ABB Brunei, Celine Ho; dan wakil cawangan ABB Brunei, Bobby Ong.
Antara tajuk yang disampaikan termasuk ‘Innovating Digital Substations with IoT-enabled Solution’ yang disampaikan oleh Rajesh Saha, ‘Digital Compact Substations on an Effective and Intercompatible Platform’ oleh Truong Nguyen Hong dan ‘Technology to Improve Reliability and Transformer Performance’ oleh Ngan LeThi.
Antara yang ditekankan adalah mengenai kepentingan substesen digital pada era moden ini, yang mana ABB memperkenalkan teknologi yang menyepadukan penggunaan Internet of Things (IoT) ke substesen-substesen untuk membuat pemantauan jauh dan mengurangkan penggunaan masa terutama jika terjadinya permasalahan kuasa di tapak seperti di hutan, secara cepat akan dapat mengenal pasti masalah dan menghantar maklumat melalui pelbagai protokol ke ibu pejabat.
Menurut Brian David Hull, taklimat setengah hari itu adalah untuk menjemput pelanggan ABB di Brunei bagi memperkenalkan teknologi terbaharu yang selaras dengan Revolusi Industri Keempat.
Selain memperkenalkan produk robot ABB yang boleh bekerjasama dengan manusia, ABB juga mempunyai produk teknologi pintar seperti Transformer Pintar yang boleh memantau atau merasa kekuatan voltan dan memberi amaran awal sebelum transformer tersebut mengalami kerosakan.
Beliau berharap, para peserta akan mendapat kefahaman mendalam mengenai Revolusi Industri Keempat terutama produk ABB yang dihasilkan boleh membantu perniagaan mereka di Brunei dengan lebih efisien.
