Kita semua pernah berasa cemas dan tegang dari semasa ke semasa, namun data baharu menunjukkan bahawa tekanan merupakan salah satu faktor utama yang menghalang orang ramai daripada melindungi kesihatan jantung mereka.
Menurut tinjauan Ipsos B&A melibatkan 1,018 peserta bagi kempen Her Heart Matters, tekanan dan kekangan masa (26 peratus), kos pemeriksaan kesihatan (25 peratus), kurang motivasi (23 peratus), yuran keahlian gim yang mahal (21 peratus) serta harga makanan sihat yang tinggi (18 peratus) merupakan antara sebab mengapa ramai wanita tidak mengambil langkah untuk menjaga kesihatan jantung mereka.
Namun, apakah kesan langsung tekanan terhadap kesihatan jantung dalam jangka masa panjang dan adakah cara untuk mengawalnya?
Bagi mendapatkan penjelasan, wartawan menghubungi Pakar Perunding Kardiologi Hospital St Bartholomew’s, Dr Malcolm Finlay dari Nuffield Health, Britain.
“Tekanan boleh memberi kesan langsung kepada jantung, sama ada secara akut atau kronik,” jelasnya.

“Kita tahu tubuh mampu menangani tekanan pada tahap tertentu, tetapi tekanan mental yang tinggi boleh mencetuskan degupan jantung tidak normal.
“Dalam keadaan kronik, hormon tekanan boleh menyebabkan tekanan darah meningkat secara berterusan. Walaupun kesannya kecil, ia boleh membawa kerosakan jangka panjang.
“Selain itu, tekanan juga boleh mendorong tindak balas keradangan dalam tubuh melalui laluan yang sama yang terlibat dalam tekanan mental.”
Beliau menambah, tabiat yang didorong oleh tekanan seperti merokok dan pengambilan alkohol berlebihan juga boleh menjejaskan kesihatan jantung.
ADAKAH TEKANAN BERKAIT DENGAN ARITMIA?
“Terdapat bukti kukuh bahawa tekanan mental akut boleh mencetuskan aritmia,” kata Dr Finlay. “Ia boleh meningkatkan kemungkinan denyutan tambahan atau tidak sekata yang menjadi pencetus aritmia dan turut mengubah pengawalan kompleks sistem konduksi jantung.
“Latar belakang evolusi untuk tindak balas ini ialah mempersiapkan jantung menghadapi senario senaman ekstrem. Namun apabila ia berlaku hanya kerana tekanan mental tanpa aktiviti fizikal, ia boleh menjadi kontra produktif dan mengundang aritmia.”
BOLEHKAH TEKANAN MENCETUSKAN SERANGAN JANTUNG ATAU KEJADIAN KARDIAK AKUT?
“Terdapat banyak rekod di mana tekanan akut dikaitkan sebagai pencetus serangan jantung, malah risiko ini juga dilihat tinggi ketika prosedur pembedahan,” jelasnya.
Namun katanya, adalah sukar untuk menganggap tekanan sebagai penyebab utama.
“Kebiasaannya, tekanan akut hanya mempercepatkan sesuatu yang memang akan berlaku, bukannya menghasilkan fenomena baharu,” terangnya.
“Sebagai contoh, jika seseorang menghidap penyakit jantung dan berkemungkinan mengalami aritmia dalam beberapa minggu atau bulan akan datang, tekanan akut boleh mempercepatkan kemunculannya.”
Dr Finlay turut menekankan bahawa tekanan bukanlah satu-satunya faktor penyumbang kepada penyakit jantung atau serangan jantung.
“Mengawal tekanan mental semata-mata tidak akan merawat penyakit jantung.
“Ia juga tidak memadai untuk mencegahnya secara menyeluruh,” tegasnya.
“Kita semua pasti mengalami tekanan dari semasa ke semasa. Apa yang penting ialah mempelajari teknik pengurusan tekanan, bukannya cuba menghindari tekanan sepenuhnya.”
TEKNIK MENGURUS TEKANAN UNTUK LINDUNGI JANTUNG:
Kenal pasti punca tekanan dalam hidup
“Cuba secara aktif hapuskan perkara-perkara kronik yang menjadi punca tekanan dan membebankan tubuh,” nasihat Dr Finlay.
Amalkan gaya hidup sihat
“Elakkan merokok, kawal pengambilan alkohol dan lakukan senaman berkala. Semua ini sangat membantu,” katanya.
Kurangkan masa dengan skrin
“Walaupun bukti tentang bahaya penggunaan telefon pintar masih terhad, sesetengah orang boleh terjejas sekiranya tiada kawalan. Ketagihan media sosial misalnya boleh menjejaskan kesihatan mental,” jelasnya.
“Dengan mengawal tabiat dalam talian, ia boleh membantu.”
Jadikan senaman sebagai rutin
“Satu tip penting ialah memasukkan senaman secara teratur dalam rutin harian. Senaman berkala sangat bermanfaat kerana ia sering dikaitkan dengan tabiat sihat lain seperti pemakanan baik dan kawalan alkohol,” katanya.
Nilai semula keutamaan hidup
“Tekanan terhadap jantung juga boleh dikurangkan dengan menilai semula apa yang benar-benar penting dalam kehidupan, bukannya terperangkap dengan perkara kecil seharian,” menurutnya lagi.
“Walaupun sukar, adalah penting untuk mempunyai matlamat hidup yang jelas dan menyesuaikan diri dengannya.” – ANN/The Star
