CANBERRA, 5 APRIL – Tekanan haba akibat peningkatan suhu lautan boleh menjejaskan penglihatan sotong dan mengancam kelangsungan hidup spesies itu, menurut kajian dari Australia.
Dalam kajian yang diterbitkan hari ini, penyelidikan yang diketuai oleh Universiti Adelaide itu mendapati protein yang penting untuk penglihatan sotong dipengaruhi oleh tekanan haba.
Dua bahan dalam protein yang masing-masing mengekalkan ketelusan kanta, kejelasan optik dan juga bertanggungjawab untuk penjanaan semula pigmen visual dalam bahagian mata sotong, boleh terjejas dengan ketara di bawah kepanasan lautan, sekali gus menjejaskan penglihatan sotong.
Qiaz Hua, penulis utama kajian itu, berkata sotong menggunakan penglihatan mereka untuk persepsi kedalaman, pengesanan gerakan, komunikasi dan mengesan pemangsa dan mangsa. “Gangguan penglihatan pada sotong akan menjejaskan peluang sotong untuk hidup di alam liar,” katanya dalam satu kenyataan media.
Selain menjejaskan penglihatan, peningkatan suhu juga akan memberi kesan negatif kepada pembiakan sotong.
“Kami mendapati kadar kematian yang tinggi di bawah keadaan pemanasan pada masa hadapan di mana kurangnya telur menetas pada induk sotong,” kata Hua.
“Kajian kami menunjukkan walaupun sotong adalah haiwan yang mudah beradaptasi, ia mungkin tidak dapat bertahan perubahan suhu lautan pada masa depan,” katanya. – Xinhua


