Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Dalam usaha bagi meningkatkan pengetahuan serta kefahaman orang ramai mengenai obesiti dan keperluan untuk mengambil tindakan mengatasi obesiti, sekumpulan mahasiswa Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mengadakan acara kesedaran dinamakan Stop STOB.
Acara yang diadakan bersempena dengan Hari Kesedaran Kesihatan Mental dan Obesiti, disambut setiap 10 dan 11 Oktober, itu melibatkan mahasiswa yang mengambil modul Pengurusan Projek dan dianjurkan dengan kerjasama Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan.
Perasmian acara yang berlangsung di Blok D, Bangunan Integrated Science, UBD itu telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Fakulti Teknologi Berintegrasi, UBD, Dr. Juliana binti Haji Zaini.
Stop STOB bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai bagaimana tekanan mental dapat membawa kepada tekanan makan yang menyebabkan masalah obesiti khususnya di negara ini.
Di Brunei Darussalam kadar obesiti dalam kalangan orang dewasa adalah yang tertinggi di rantau ini dan menurut Kajian Penyakit Tidak Berjangkit 2016, tiga daripada 10 orang dewasa di negara ini gemuk.

Sementara itu, kadar obesiti dalam kalangan remaja berumur 13 dan 17 tahun ialah 17 peratus.
Menurut data yang dikumpulkan oleh Kajian Penduduk Dunia 2019, Brunei mempunyai prevalensi obesiti kedua tertinggi dalam kalangan mereka yang berusia lima dan 19 tahun di ASEAN.
Pengurus Projek, Awangku Ahmad Fai’zun Dzakiyy bin Pengiran Aliuddin dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan bahawa obesiti sangat berkait rapat dengan penyakit tidak berjangkit seperti kanser iaitu penyakit kardiovaskular dan kencing manis.
Menurutnya lagi, salah satu faktor yang menyumbang kepada pembangunan obesiti adalah disebabkan masalah kesihatan mental terutamanya tekanan yang mana isu-isu berkenaan dibincangkan lebih lanjut dalam forum acara tersebut.
Selain forum, acara juga mengetengahkan beberapa aktiviti seperti demonstrasi untuk menyediakan makanan sihat bersama Fuel’d dan senaman ringan yang dipertunjukkan oleh Victorious Performance.