Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teknik agar tampil lebih tinggi, segak

    Lelaki bertubuh rendah memang ada cabarannya kerana kebiasaannya awda perlu memotong seluar yang panjang, manakala lengan baju panjang pula perlu dilipat.

    Namun, jangan membatasi diri untuk tampil bergaya kerana awda boleh kelihatan menyerlah jika memakai pakaian mengikut aturan yang betul.

    Lihat sahaja lelaki rendah yang sentiasa bergaya segak seperti Hael Husaini, Alif Satar, Haqiem Rusli, James Dean, Daniel Radcliffe dan ramai lagi.

    Walaupun tidak tergolong dalam kalangan lelaki yang tinggi lampai, mereka masih kelihatan tampan dan segak ketika menyarungkan pakaian.

    Bagi memastikan penampilan awda rapi dan bergaya, berikut adalah antara teknik dan helah yang boleh awda ikuti ketika berpakaian.

    T-shirt berkolar V memberikan kesan lebih tinggi pada bahagian atas tubuh awda. – maskulin.com.my
    Gambar maskulin.com.my

    ELAK PAKAI BAJU BERGARIS MELINTANG

    Bagi mereka yang memiliki bentuk badan rendah, awda perlu mengelak memakai pakaian bergaris melintang (horizontal) atau berkotak-kotak. Pakaian tersebut hanya akan membuatkan tubuh awda kelihatan lebih lebar dan semakin pendek. Pakaian yang sesuai untuk awda gayakan adalah pakaian bergaris menegak yang boleh memberi efek tubuh yang tampak lebih tinggi.

    ELAK BAJU BAGGY DAN TERLALU PANJANG

    Baju yang baggy dan melebihi bahu akan menenggelamkan tubuh, apatah lagi jika panjang baju itu berada di bawah tulang pinggul. Jadi, awda disarankan untuk memakai baju slim fit atau pakaian yang tidak terlalu besar ataupun kecil.

    ELAK PAKAI SELUAR LONGGAR DAN LABUH

    Batalkan niat awda untuk memakai seluar labuh atau longgar. Ini kerana pakaian itu akan membuatkan awda nampak dua kali ganda lebih pendek daripada ketinggian asal. Seluar yang dipakai terlalu tinggi di atas pinggang atau di bawah pinggang akan memendekkan garis kaki.

    Jadi, seluar yang berada di garisan pinggang untuk memaksimumkan kepanjangan kaki awda adalah sangat sesuai untuk dipakai.

    Seluar slim fit atau potongan yang lebih langsing boleh menampakkan kaki yang lebih panjang sekali gus memberikan awda kelihatan lebih tinggi.

    Selain itu, pastikan jahitan seluar awda jatuh tepat di atas kasut dan jangan lipat bahagian bawah seluar.

    PILIH RONA WARNA BUMI

    Warna-warna cerah seperti merah, kuning dan merah jambu perlu dielakkan kerana ia akan membuatkan tubuh badan awda nampak semakin bervolum. Sebaiknya, penuhkan almari awda dengan baju berwarna bumi seperti hitam, coklat, kelabu dan navy.

    Warna-warna seumpama itu akan memberi kesan lebih tinggi dan besar pada tubuh awda.
    Selain itu, elakkan juga memakai warna hitam secara keseluruhannya kerana warna ini akan membuatkan awda semakin pendek.

    GUNA KOLAR BAJU BENTUK V

    Elak kolar t-shirt atau kemeja yang melekap pada leher kerana ia hanya akan membuatkan awda kelihatan semakin bulat dan pendek. Pilihlah t-shirt berkolar V untuk memperlihatkan bahagian atas tubuh awda lebih tinggi. Bagi kemeja pula, adalah sesuai jika awda memakai jenis kolar yang tinggi dan tidak terlalu lebar.

    GUNAKAN HANYA SELAPIS JAKET

    Pakaian-pakaian tebal tebal seperti sweater, hoodie dan jaket sebenarnya cenderung membuatkan tubuh awda kelihatan semakin lebar dan pendek. Jika awda ingin memakai jenis-jenis pakaian itu, pastikan untuk memilih material yang lebih nipis dan ringan seperti poliester dan jersi yang merupakan pilihan paling tepat untuk lelaki bertubuh rendah.

    PAKAI KOT ATAU BLAZER KURANG TIGA BUTANG

    Kot, blazer atau kardigan dengan jumlah butang lebih daripada tiga akan membuatkan bahagian atas tubuh awda jelas kelihatan lebih pendek.

    Jika awda ingin memakai pakaian berbutang, sebaiknya memilih pakaian yang memiliki hanya satu atau dua butang daripada jenis single breasted. Pastikan juga pakaian yang awda pilih mempunyai kepanjangannya tepat di paras punggung.

    ELAK RAMBUT PANJANG

    Selain pakaian, rambut juga boleh mempengaruhi ukuran tubuh seseorang. Rambut panjang akan menutupi leher dan bahu sehingga membuatkan leher awda tenggelam.

    Potongan rambut pendek seperti pacak merupakan pilihan rambut paling tepat untuk lelaki bertubuh rendah kerana ia akan membuatkan leher awda kelihatan lebih panjang. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda