Oleh Raz AS
Kaedah pancingan tunda atau juga dikenali sebagai trolling adalah kaedah pancingan menggunakan satu atau lebih tali pancing yang dipasangkan dengan umpan sama ada tiruan ataupun ikan hidup atau mati, dan dilepaskan di belakang bot yang bergerak.
Kaedah ini sangat popular digunakan untuk menangkap spesies ikan pelagik seperti tenggiri, tuna, belitong, layaran dan marlin. Namun begitu pancingan tunda tidak hanya terhad kepada itu sahaja, ia juga boleh digunakan di kawasan muara dan sungai-sungai untuk memburu ikan-ikan pemangsa seperti selungsung, ungah, kanai dan lain-lain.
Meskipun kaedah pancingan tunda kedengarannya seperti senang, iaitu lepas umpan di belakang bot dan tunda, namun hakikatnya ia dianggap sebagai salah satu kaedah pancingan yang susah untuk dikuasai.
Peralatan yang diperlukan untuk kaedah menunda bergantung pada faktor-faktor seperti spesies buruan, saiz bot dan lain-lain. Namun pada asasnya anda memerlukan satu atau lebih set pancingan yang terdiri daripada joran, tali pancing dan reel.
Untuk menunda, adalah lebih baik menggunakan joran yang direka khas untuk teknik ini, tali yang non-corrosive, dan reel yang kuat. Faktor utama yang perlu dipertimbangkan pemancing yang ingin berjinak-jinak dengan kaedah ini adalah untuk mendapatkan peralatan yang mampu menangani bebanan yang kuat. Ini bermakna joran yang digunakan haruslah daripada jenis yang kuat dan karau, reel yang kuat dan mempunyai kandungan tali yang banyak serta tali yang mempunyai kekuatan tegangan yang tinggi.

Antara peralatan lain yang diperlukan adalah seperti rod holder,ini bukan sahaja membolehkan pemancing untuk menggunakan lebih daripada satu set pancing ketika menunda bahkan pemancing juga boleh mengendalikan bot dengan efisien tanpa perlu memegang joran sepanjang masa meski hanya menggunakan satu set pancing.
Sonar juga merupakan gajet penting yang dapat membantu pemancing dengan membekalkan informasi-informasi penting seperti lokasi di mana ikan berada, kedalaman perairan, suhu air dan keadaan pada permukaan dasar.
Berdasarkan informasi-informasi tersebut pemancing bolehlah beradaptasi dengan keadaan seperti kedalaman selaman umpan yang diperlukan berdasarkan kedalaman air dan keberadaan ikan. Dengan memastikan umpan berada pada tempat dan kedalaman yang betul akan meningkatkan peluang pemancing untuk menangkap ikan secara konsisten.
Perlu diingat dengan kaedah menunda, umpan yang ditunda melintas di hadapan ikan dengan cepat dan ikan boleh sahaja terlepas pandang dan tidak perasan dengan kehadiran umpan tersebut, oleh itu menggunakan umpan yang senang dilihat oleh ikan boleh membantu meningkatkan peluang strike.
Pemancing juga perlu sentiasa berani untuk bereksperimentasi. Jika menunda di kawasan yang banyak ikan tetapi umpan yang ditunda tidak mendapat sambutan, cuba bermain-main dengan pilihan warna atau umpan yang berlainan dengan kerap.
Selain itu juga dengan menukar-nukar kelajuan tundaan, bermula daripada perlahan dan sedikit demi sedikit meningkatkan kelajuan bot. Jika masih tiada sambutan perlahankan semula bot dan buat beberapa kali pusingan.