Tuesday, January 21, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teknik baharu warnai baju Aloha Jepun

    Oleh Sawa Matsumoto

    KYOTO – Teknik pewarnaan tradisional Kyoyuzen berusia berabad-abad di Jepun, telah diberi nafas baharu dalam dunia fesyen moden melalui kemeja Aloha dan baju-T yang dicipta oleh syarikat Kamedatomi Co.

    Syarikat yang berpusat di Kyoto itu telah kembali kepada asas dan menemui kaedah baharu untuk menghasilkan kemeja Aloha dan baju-T yang memaparkan pelbagai motif dan corak berwarna-warni dengan lambang yang membawa tuah seperti burung bangau dan naga.

    Baju mewah potong dan jahit hasil keluaran firma ini diinspirasikan oleh kostum kabuki.

    Barangan lainnya menampilkan reka bentuk yang menerima inspirasi daripada karya terkenal seniman ukiyoe, Katsushika Hokusai dan artis lain di bawah jenama syarikat Pagong.

    Firma ini ditubuhkan pada era Taisho (1912-1926) dan menyediakan pakaian dengan sentuhan moden berdasarkan stensil tradisional Jepun yang digunakan selama beberapa abad dan telah dipelihara di dalam gudangnya.

    Seorang pekerja di Kamedatomi Co menggunakan stensil berbingkai pada fabrik di Ukyo Ward, Kyoto. – ANN/Japan News
    Syarikat itu mempunyai lebih daripada 1,000 stensil untuk mewarnai fabrik. – ANN/Japan News
    Kemeja Aloha menggunakan teknik mewarna Kyo-yuzen. – ANN/Japan News
    Katsuhisa Yamada menggunakan alat penyeka semasa proses mewarna fabrik. – ANN/Japan News

    Pakaian ini terbukti sangat popular dalam kalangan pelancong luar negeri dan generasi muda Jepun.

    Proses cermat dan teliti

    Baru-baru ini, penulis mengunjungi kilang syarikat di mana kain-kainnya diwarnai.

    Pewarnaan yuzen dibangunkan dalam era Edo (1603-1867). Kilang ini menggunakan kaedah yang disebut ‘kata yuzen’, di mana setiap warna diwarnai dengan tangan menggunakan stensil.

    Katsuhisa Yamada, 68, dan Masayoshi Ono, 36, menempatkan stensil berbingkai kayu pada bahagian kain putih yang diregangkan berukuran kira-kira 1.1 meter lebar dan 24 meter panjang, kemudian menyapukan pewarna di atas kain dengan alat penyeka besar.

    Stensil itu seterusnya digunakan di sepanjang kain dan proses tersebut diulangi dengan teliti.

    Semasa kunjungan penulis ke syarikat tersebut, satu corak naga sedang dihasilkan di atas kain sutera.

    Setiap kali Yamada menggerakkan tangannya, garis luar naga menjadi semakin jelas.

    Sepasang mata muncul dan warna seterusnya ditambahkan, menjadikan haiwan itu kelihatan hampir tiga dimensi.

    Setiap warna mempunyai stensil yang berbeza, dan untuk corak naga, 10 stensil akan digunakan. Sesetengah corak yang kompleks dan berwarna-warni memerlukan hingga 25 stensil.

    Kilang itu menggunakan lebih daripada 500 warna.

    Berdasarkan rumusan yang diturunkan selama bertahun-tahun, pewarna serbuk akan dilarutkan dalam air panas dan dicampurkan dengan glu atau perekat dalam kelikatan berlainan.

    Kemahiran tinggi diperlukan untuk menghasilkan produk akhir yang cantik tanpa sebarang kesan kabur dengan setiap corak dalam keadaan asli.

    Kilang ini menggunakan pelbagai jenis fabrik, termasuk sutera, kapas dan poliester.

    “Setiap kali saya bekerja menggunakan jenis kain yang baharu, ia merupakan proses menguji dan mencuba,” kata Yamada, seorang tukang mahir de-ngan pengalaman 45 tahun.

    Alat penyeka juga datang dalam pelbagai bentuk dan saiz sesetengahnya mempunyai hujung yang lembut, sementara yang lain memiliki hujung yang keras dan adalah penting untuk menentukan alat penyeka yang betul untuk digunakan pada fabrik serta butir-butir corak.

    Seseorang perlu berhati-hati dan amat teliti terutamanya apabila mewarnai kain satin atau tafeta, kerana fabrik berkenaan cenderung terdedah kepada pewarnaan yang tidak serata.

    Pengalaman adalah kunci dalam pekerjaan ini. “Terlalu banyak pewarna yang diserap adalah tidak elok, sementara terlalu sedikit menyebabkan corak kelihatan tidak jelas,” kata Yamada. “Oleh itu, menggunakan teknik menekan yang betul adalah penting.”

    Memulihkan tradisi

    Kamedatomi Co., ditubuhkan pada tahun 1919, menggaji lebih daripada 100 pekerja pada awal hingga pertengahan era Showa (1926-1989), apabila permintaan untuk kimono amat popular pada masa itu.

    Bagaimanapun, pada era Heisei (1989-2019) berikutnya, gaya hidup penduduk Jepun telah berubah dan syarikat itu hanya mewarnai fabrik untuk pakaian gaya Barat.

    Ia bekerja sebagai subkontraktor dan secara beransur-ansur mengurangkan saiz perniagaannya.

    Titik perubahan mula berlaku pada tahun 2001, ketika Noriaki Kameda, 66, ketua generasi keempat syarikat itu, memutuskan untuk sekali lagi menggunakan 5,000 hingga 6,000 reka bentuk Kyoyuzen yang dipelihara dalam gudang syarikat.

    Kemeja Aloha Kyoyuzen hasil keluaran syarikat menerima sambutan yang amat menggalakkan apabila ia pertama kali muncul di pasaran.

    Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pencetak dakwat telah semakin banyak digunakan dalam pengeluaran kimono dan pakaian lain.

    Tomihiro Kameda, 37, ketua generasi kelima dan presiden syarikat masa ini, berkata, “Daya tarikan teknik kata-yuzen terletak pada corak yang terperinci dan warna yang cantik. Warna yang pekat dan garang hanya dapat dicapai oleh tangan manusia.”

    Kameda berkata syarikat akan terus menggunakan teknik tradisional dan mewariskannya kepada generasi masa depan. – ANN/Japan News

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda