Saturday, March 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teknik ikatan Alberto

    Oleh Raz AS

    Ikatan Alberto atau Alberto Knot merupakan salah satu teknik ikatan yang sangat popular dalam kalangan pemancing untuk menghubungkan tali utama (braided) yang nipis dengan tali perambut (monofilament atau flourocarbon) yang tebal.

    Antara kelebihan ikatan Alberto adalah ia boleh dibuat dengan cepat dan pada masa sama menjanjikan kekuatan ikatan yang tidak akan mengecewakan pemancing.

    Oleh itu ramai dalam kalangan pemancing termasuk penulis sendiri telah menggunakan ikatan Alberto sebagai alternatif kepada ikatan FG yang sangat popular kerana kekuatannya namun mengambil lebih banyak masa untuk diikat.

    Cara membuat ikatan Alberto:

    Pertama sekali lipatkan hujung tali perambut sepanjang beberapa inci untuk membuat lingkaran, kemudian masukkan tali utama (braided) kira-kira setengah kaki panjang melalui lingkaran tersebut.

    Kemudian lilitkan hujung tali utama tadi ke tali perambut yang telah dilipat sekurang-kurangnya sebanyak tujuh kali. Setelah itu tahan sebahagian tali utama yang dililit tadi menggunakan jari dan lilitkan lagi hujung tali juga sekurang-kurangnya tujuh kali meliliti tali perambut dan lilitan yang telah dibuat tadi.

    Langkah seterusnya adalah memasukkan hujung tali utama melalui lingkaran tempat tali dimasukkan pada langkah awal sekali. Jika tali mula-mula dimasukkan melalui bahagian depan maka masukkanlah daripada arah bertentangan iaitu melalui bahagian belakang dan begitu jugalah sebaliknya.

    Basahkan tali dan kemudian tarik kedua-dua hujung dan pangkal tali utama dan tali perambut pada masa yang sama perlahan-lahan untuk mengencangkan ikatan. Sebagai langkah terakhir potongkan lebihan tali untuk mengemaskan ikatan. Sebagai tip, jika anda takut ikatan terlucut kerana banyak memotong lebihan tali atau sengaja memotong pendek agar ikatan lebih kemas dan lebihan tali tidak mengganggu kelancaran tali keluar akibat terkena pada ring joran, anda bolehlah menggunakan beberapa titisan superglue pada ikatan tersebut.

    Langkah-langkah untuk membuat ikatan Alberto atau Alberto Knot.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda