Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teknik ikatan mampu kekal kekuatan 100 peratus

    Oleh Raz AS –

    Ikatan Bimini Twist merupakan satu kaedah atau teknik ikatan yang digunakan untuk menghasilkan ikatan lingkaran (loop) yang kuat pada tali pancing, yang juga boleh digunakan bagi tujuan menghubungkan tali utama dengan tali perambut sama ada menggunakan kaedah loop-to-loop, kaedah tali berkembar, atau ke kili-kili (swivel) menggunakan offshore swivel knot.

    Sebelum menyentuh mengenai teknik bagaimana untuk menghasilkan ikatan Bimini Twist yang sedikit rumit ini, kita kenali terlebih dahulu akan kelebihan dan kelemahannya agar pembaca boleh membuat pertimbangan sendiri sama ada meluangkan masa mengikat Bimini Twist ini berbaloi dan bersesuaian dengan kaedah pancingan masing-masing.

    Salah satu titik lemah pada tali pancing yang mengakibatkannya terputus sebelum mencecah beban yang sepatutnya adalah pada bahagian ikatan.

    Namun Bimini Twist dipercayai mampu membahagikan beban tersebut pada dua tali dengan sama rata, meningkatkan lagi ketahanan ikatan dan menghilangkan titik lemah tersebut.

    Ramai pemancing berpendapat ikatan Bimini Twist mampu mengekalkan kekuatan tali hingga ke tahap 100 peratus. Ini bermakna tali dengan kekuatan 80 paun (lb) tidak akan putus sebelum beban tarikannya mencecah pada kekuatan tersebut.

    Tatacara mengikat Bimini Twist. – GAMBAR OLEH USANGLER
    Ikatan Bimini Twist sangat popular digunakan oleh kalangan pemancing-pemancing luar pantai yang memerlukan kekuatan pada bahagian ikatan atau sambungan tali untuk menundukkan buruan bersaiz mega. – GAMBAR OLEH PAT FORD

    Walau bagaimanapun, mengikut kajian makmal yang telah dijalankan, ikatan ini direkodkan hanya mampu mengekalkan kekuatan tali sepenuhnya apabila ia berada dalam keadaan yang optimum, iaitu dengan keadaan tali basah.

    Dapatan kajian yang mengejutkan telah menunjukkan ikatan Bimini Twist dengan tali monofilament berkekuatan 80lb terputus pada tahap kekuatan 20lb sahaja setelah mendapat sentapan kuat tanpa tali tersebut dibasahkan terlebih dahulu.

    Namun keadaan optimum tersebut boleh diperoleh ketika memancing, oleh yang demikian ikatan ini sangat popular digunakan oleh kalangan pemancing-pemancing luar pantai yang memerlukan kekuatan pada bahagian ikatan atau sambungan tali untuk menundukkan buruan bersaiz mega mereka.

    Terdapat beberapa cara yang telah diperkenalkan untuk mengikat Bimini Twist, mengukuhkan lagi statusnya sebagai salah satu teknik ikatan yang rumit.

    Ini termasuk keperluan menggunakan bantuan daripada tangan orang kedua, alat bantuan membuat ikatan, tombol pintu, kaki malah ada juga yang menggunakan lutut.

    Untuk menyenangkan sedikit proses membuat ikatan Bimini Twist, lingkarkan tali pancing pada tempat yang boleh dijadikan sebagai sokongan seperti tombol pintu atau kaki sendiri.

    Setelah itu, lilitkan hujung tali ke bahagian pangkalnya sebanyak kira-kira 20 kali lilitan. Kemudian tarik sedikit bahagian pangkal dan hujungnya dari arah bertentangan untuk merapatkan lilitan.

    Langkah seterusnya, lilitkan lagi hujung tali tersebut kali ini menuju ke arah lingkaran awal, bermaksud lilitan dibuat membaluti lilitan awal tadi. Selepas itu masukkan hujung tali ke dalam lingkaran dan buatkan ikatan ringkas satu kali agar lilitan tidak terlucut.

    Setelah itu lilitkan lagi hujung tali pada lingkaran tersebut, tapi kali ini dari arah atas ke bawah menuju ke bahagian yang diikat tadi.

    Lilitan yang dibuat cukup sekadar empat ke lima lilitan sahaja. Sebagai langkah terakhir, tarik hujung tali dan lingkaran tersebut dari arah bertentangan untuk menghasilkan ikatan Bimini Twist yang sempurna dan potongkan hujung tali untuk mengemaskan ikatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda