Thursday, November 14, 2024
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teknik inovatif penternakan ikan atasi kekurangan makanan

    HAVANA – Sejak dua tahun lalu, usahawan Cuba Jose Martinez dan Joel Lopez telah menggunakan teknik inovatif untuk menternak 24 tan tilapia – sumber makanan kritikal untuk negara pulau yang dikelilingi air tetapi tidak mempunyai ikan yang cukup.

    Pasangan itu, kedua-duanya peguam yang berumur 35 tahun, bergantung pada kaedah simbiotik dipanggil akuaponik di mana sisa buangan daripada ikan ternakan dijadikan makanan kepada tumbuhan yang ditanam bukan di dalam tanah tetapi di dalam air kolam yang ditapis melalui akarnya untuk digunakan semula dalam tangki.

    Dua tahun lalu, Martinez dan Lopez memulakan perniagaan mereka di Barbosa, pinggir bandar ibu negara Havana, dengan pinjaman kerajaan dan wang simpanan persendirian.
    Mereka membina 12 kolam seluas 20 meter padu setiap satu.

    Di dalam kolam mereka, ikan tilapia memerlukan enam bulan untuk membesar sehingga saiz yang diperlukan iaitu 400 gram untuk kegunaan manusia.

    “Kami menjual ikan tersebut di sini dalam komuniti kerana kami adalah projek pembangunan tempatan, tetapi sebahagian daripada pengeluaran akan dijual dalam sektor pelancongan supaya kami boleh memperoleh wang yang kami perlukan untuk meneruskan dengan projek itu”, kata Martinez, pemilik bersama perusahaan yang dipanggil JoJo Aquaponico.

    Seorang lelaki memberi makan kepada tilapia merah dalam tangki air di ladang ikan JoJo Akuaponik di Havana. – AFP
    Ikan tilapia merah berenang dalam tangki air di ladang ikan JoJo Akuaponik, Havana. – AFP
    Pekerja menyiram tanaman selada di ladang ikan JoJo Akuaponik. – AFP
    Seorang lelaki mencurahkan anak ikan tilapia dalam tangki air. – AFP
    Pekerja mengukur PH dalam tangki air ikan. – AFP
    Pekerja memasang paip air dalam sebuah kolam di ladang penternakan ikan. – AFP
    Gambar AFP

    Apabila mereka selesai membina tiga rumah hijau mereka, pasangan itu juga berharap dapat menanam 36 tan sayur-sayuran pada satu masa.

    ‘Berdaya maju dan mampan’

    Projek seperti ini semakin penting untuk memberikan makan kepada 11 juta penduduk Cuba, yang dikenakan sekatan Amerika Syarikat (AS) selama enam dekad yang lalu.

    Negara komunis itu sedang mengalami krisis ekonomi terburuk dalam tiga dekad, dengan kekurangan makanan, ubat-ubatan serta bahan api.

    “Idea kami adalah untuk membawa pengetahuan ini … kepada semua orang yang ingin menghasilkan ikan,” kata Lopez. “Ia adalah penyelesaian yang berdaya maju dan mampan.”

    Sebelum krisis ekonomi tahun 1990an yang berpunca daripada perpecahan Kesatuan Soviet, negara sekutu penting, Cuba mempunyai armada kapal yang menangkap kira-kira 100,000 tan ikan di perairan antarabangsa setiap tahun – kebanyakannya dijual di pasaran tempatan pada harga subsidi.

    Pantai negara yang cetek dan rendah nutrien, menurut pakar, dan penangkapan ikan yang berlebihan telah mengurangkan lagi stok di sekitar pulau itu.

    Satu lagi halangan yang dihadapi adalah kekurangan enjin dan bahan api yang semakin meningkat untuk bot nelayan, kata Menteri Industri Makanan, Manuel Sobrino di televisyen tempatan baru-baru ini.

    Selama tiga tahun terakhir, Cuba telah membawa masuk kurang daripada 12,000 tan ikan setahun.

    Tahun lepas, negara itu menjual makanan laut bernilai kira-kira AS$54 juta kepada pelanggan di luar negara kerana ia sangat memerlukan mata wang asing.

    Ternak ikan sendiri

    Penternakan ikan juga telah terjejas teruk.

    Angka rasmi menunjukkan antara 2018 dan 2022, pengeluaran ikan keli – satu lagi spesies air tawar yang diternak dalam kurungan – merosot daripada 6,286 kepada 1,355 tan.

    Hasil pertanian secara amnya menurun sebanyak 35 peratus dari 2019 hingga 2023 di Cuba.

    Pada bulan Julai, Timbalan Perdana Menteri, Jorge Luis Tapia mencadangkan supaya rakyat Cuba mula mengusahakan ikan mereka sendiri di rumah – satu amalan yang tersebar luas pada masa terdesak pada 1990an. Cadangan itu disambut dengan perasaan tidak percaya.

    Ketika kerajaan bergelut untuk menangani kekurangan makanan, ia meluluskan undang-undang pada 2019 untuk membenarkan nelayan menjual hasil tangkapan mereka secara terus, tanpa campur tangan kerajaan.

    Perniagaan kecil semakin banyak membeli ikan daripada nelayan individu tetapi dengan harga lebih tinggi, rakyat Cuba biasa juga tidak mampu membelinya daripada mereka. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda