Saturday, February 15, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teknik memancing ikan kerapu

    Oleh Raz AS –

    Ikan kerapu merupakan salah satu spesies ikan yang sangat digemari oleh pemancing kerana keganasannya menyambar umpan, kekuatan renangannya dan rasanya yang lazat. Ia boleh didapati di kawasan muara berbakau, tembok batu, kawasan berbatu karang, dan struktur bawah laut di mana ia menjadi tempat persembunyiannya.

    Oleh kerana sifat ikan ini yang gemar bersembunyi, pemancing perlu menggunakan teknik yang betul untuk menangkapnya dengan berkesan. Jika terlalai, ia akan membawa tali pancing masuk ke dalam struktur tempat persembunyiannya dan boleh menyebabkan pemancing berputih mata.

    Ikan kerapu biasanya mendiami perairan tropika dan subtropika, taburan ikan kerapu meliputi perairan Asia Tenggara, Australia, dan Kepulauan Pasifik. Mereka lebih aktif pada waktu malam dan sering bersembunyi di celah batu atau lubang.

    Untuk memancing ikan kerapu, pemilihan peralatan yang sesuai amat penting. Penggunaan joran dengan kekuatan sederhana hingga berat (medium-heavy atau heavy action) adalah sangat disarankan kerana ikan kerapu terkenal dengan daya tarikannya yang kuat.

    Sementara itu tali pancing berkekuatan tinggi (20-50lb) diperlukan untuk mengekang lariannya kerana ikan kerapu cenderung melarikan diri ke dalam struktur seperti batu atau karang. Tali sulam (braided line) sering menjadi pilihan kerana ia lembut, halus dan sensitif dalam mengesan getuan bagi membolehkan pemancing dapat bertindak awal sebaik sahaja umpan disambar.

    Ikan kerapu merupakan salah satu spesies ikan yang sangat digemari oleh pemancing kerana keganasannya menyambar umpan, kekuatan renangan dan rasanya yang lazat. – GAMBAR OLEH RYAN MOODY

    Manakala perambut daripada jenis fluorocarbon atau monofilament tebal berkekuatan antara 30-80lb disyorkan untuk mengelakkan tali putus akibat geseran dengan struktur tajam.

    Umpan hidup seperti anak ikan, tamban, udang hidup, dan sotong hidup adalah yang paling efektif.

    Gunakan mata kail mengikut saiz umpan yang awda gunakan tetapi pastikan ia daripada jenis yang kuat dan tidak mudah lurus, seperti mempunyai batang yang tebal.

    Umpan tiruan seperti soft plastic, jig, dan crankbait juga boleh digunakan terutama bagi pemancing yang menggunakan teknik casting atau jigging.

    Terdapat beberapa teknik yang boleh digunakan untuk menangkap ikan kerapu dengan lebih berkesan seperti teknik dasar (Bottom Fishing) di mana ia merupakan kaedah paling klasik dan efektif untuk memancing ikan kerapu. Gunakan pemberat yang mencukupi untuk memastikan umpan sampai ke dasar. Biarkan umpan berada di dasar laut dan tunggu hingga ikan menyambar.

    Teknik jigging menggunakan umpan tiruan seperti metal jig yang digerakkan ke atas dan ke bawah untuk menarik perhatian ikan, berkesan untuk menangkap kerapu bersaiz besar di kawasan terumbu karang dan dasar berbatu di laut.

    Teknik casting seperti menggunakan minnow, popper, atau soft plastic untuk menarik perhatian ikan sesuai untuk kawasan perairan yang lebih cetek seperti di kawasan sungai, muara dan sekitar tembok batu atau tiang jeti.

    Teknik trolling pula bukan sahaja sesuai digunakan di kawasan laut dalam atau sekitar terumbu karang yang luas, bahkan ia juga boleh dipartikkan di kawasan muara dan sungai untuk memikat ikan kerapu yang bersembunyi di dasar.

    Ikan kerapu lebih aktif pada waktu malam, subuh, dan senja. Namun, ia masih boleh dipancing pada siang hari terutama ketika air bergerak pasang dan surut. Musim terbaik untuk memancing kerapu biasanya ketika peralihan monsun, di mana ikan lebih aktif mencari makanan.

    Memancing ikan kerapu memerlukan kemahiran, dan peralatan yang sesuai. Dengan memahami habitat, memilih peralatan yang betul, dan menggunakan teknik yang tepat, peluang untuk mendapatkan ikan kerapu yang besar dan berkualiti akan lebih tinggi.

    Semoga panduan ini membantu awda dalam usaha menangkap ikan kerapu yang diidamkan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda