Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teknik mencukur dengan baik

    Bagi ramai lelaki, bercukur merupakan satu rutin yang sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian. Namun, berkemungkinan masih terdapat lelaki yang tidak pandai bercukur dan menggunakan teknik yang betul di mana ia boleh menyebabkan berlakunya kecederaan serta cukuran yang tidak rata.

    Justeru, perkara seumpama itu boleh dielak jika awda bercukur dengan menggunakan teknik-teknik yang betul.

    BERSIHKAN WAJAH

    Sebelum memulakan proses mencukur jambang, janggut atau misai, terdapat beberapa langkah awal yang perlu awda lakukan. Jika awda ingin bercukur pada sebelah pagi pastikan selang masa sekurang-kurangnya 10 minit selepas bangun tidur. Ini adalah bagi membantu kulit wajah berehat seketika. Kemudian cuci wajah dengan pencuci muka pilihan yang sesuai untuk menghilangkan sel kulit mati dan membuka liang roma serta melembutkan kulit di bahagian misai dan janggut.

    GUNA AIR SUAM

    Satu perkara lagi yang perlu awda lakukan sebelum mula bercukur ialah dengan melekapkan wajah dengan tuala basah dengan air suam. Awda perlu melakukan proses itu sejurus selesai mencuci wajah. Ia membantu pori-pori terbuka dan memudahkan proses mencukur nanti.

    KRIM PENCUKUR

    Kira-kira tiga minit selepas itu, awda boleh mula sapukan krim pencukur. Sapu menggunakan berus dengan gerakan berputar. Berus yang dipilih haruslah mempunyai bulu yang halus dan lembut agar kulit wajah awda lebih selesa dan boleh mengelakkan daripada calar pada wajah. Pilihlah krim pencukur yang mengandungi minyak dan kandungan formulasi sesuai dengan kukit wajah sekali gus mengelak iritasi.

    Gambar www-maskulin-com-my
    kecederaan semasa bercukur akan dapat dielakkan jika awda menggunakan teknik yang betul. – www-maskulin-com

    MULA MENCUKUR

    Bahagian yang perlu awda fokuskan terlebih dahulu semasa bercukur ialah rahang, leher dan pipi. Ia perlu dilakukan di bahagian tersebut dahulu kerana mengikut lengkungan wajah dan mengelakkan daripada kulit wajah mengalami luka. Bahagian misai dan janggut pula perlu diberikan perhatian khusus kerana ia lebih banyak rambut. Cukur janggut pada satu arah sahaja iaitu mengikut tumbuhnya anak rambut. Gerakkan pisau dengan jalur searah agar tidak mengalami luka.

    PENGGUNAAN GUNTING

    Jika ingin menyimpan janggut atau misai pastikan pola bentuk seperti yang awda mahu tidak terjejas. Bagi mendapatkan hasil yang kemas, awda perlu menggunakan gunting kecil khas. Selain itu, untuk hasil yang lebih terperinci, awda perlu menggunakan penyepit rambut. Apa yang penting awda perlu menggunting terlebih dahulu bahagian tepi misai dan janggut yang ingin disimpan.

    BILAS WAJAH SELEPAS SELESAI

    Selepas awda selesai bercukur, bersihkan wajah dengan menggunakan tuala. Bilaskan wajah dengan menggunakan air sejuk. Bagi mengembalikan kesegaran kulit wajah, awda boleh sapukan krim pelembap atau penyegar. Set pencukur yang telah digunakan pula perlu direndam seketika dalam air suam sebelum dicuci.

    Menerusi tip tersebut awda boleh bercukur dengan selesa dan lebih baik. Dengan menggunakan teknik yang betul awda tidak perlu lagi takut untuk berdepan dengan kecederaan wajah yang tidak sepatutnya berlaku. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda