Wednesday, December 25, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teknik menjerat ikan buna

    Oleh Raz AS

    Kadang-kadang ia dikenali sebagai telinga gajah, kadang-kadang pula dikenali sebagai tudung periuk, walau bagaimanapun di negara ini ia lebih dikenali sebagai ikan buna.

    Ikan buna atau dalam bahasa Inggerisnya dikenali sebagai batfish atau spadefish merupakan jenis ikan daripada genus Platax yang mana di dalam terdapat beberapa spesies.

    Keluarga genus Platax mempunyai seperti buna, mempunyai rupa dan bentuk badan yang hampir sama satu dengan yang lain, iaitu lebar pipih seakan berbentuk cakera dengan badan yang padat dan sirip dorsal besar menjadikannya kelihatan seperti bentuk segi tiga.

    Ikan buna boleh membesar sehingga kira-kira 40 hingga 60cm panjang bergantung pada spesiesnya, akan tetapi bagi spesies terbesar ia boleh menjangkau sehingga 70cm panjang.

    Spesies ikan ini boleh ditemui di kawasan perairan berterumbu, tiang-tiang konkrit dan kapal karam di kedalaman sehingga 50 meter di seluruh Indo-Pasifik, dari Lautan India sehinggalah ke Australia dan Jepun.

    Seorang pemancing mempamerkan ikan buna yang telah diperolehinya.
    Ikan buna, walaupun bukan jenis yang digilai oleh pemancing tetapi tetap beri kepuasan jika memperolehinya.

    Diet utama ikan buna adalah ikan-ikan kecil, krustasea dan alga.

    Ikan buna bukanlah spesies yang ‘digilai’ oleh kalangan pemancing-pemancing meskipun begitu ia tetap boleh memberikan keseronokan kerana tentangan dan daya saingnya, terutama dengan peralatan pancing set ringan.

    Disebabkan mulutnya yang sangat kecil, untuk menjeratnya perlulah menggunakan mata kail bersaiz kecil tetapi tegap. Umpan popular yang digunakan untuk memancing ikan buna selalunya terdiri daripada hirisan udang, sotong, roti dan dedak ayam.

    Ikan ini dikatakan sangat sensitif, oleh itu jenis tali perlulah daripada jenis yang halus dan mata kail perlulah disembunyikan di dalam umpan.

    Teknik popular yang digunakan untuk menjerat ikan ini adalah dengan menabur roti paun ke permukaan air dengan banyak apabila kehadirannya dikesan. Setelah ia tertarik dengan umpan tabur tersebut barulah pancing tanpa batu ladung dengan roti yang menyembunyikan mata kail di dalamnya dilabuhkan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda