Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teknik pancing layang

    Oleh Raz AS

    Fly fishing atau juga dikenali sebagai pancing layang, adalah sejenis teknik memancing menggunakan umpan tiruan ringan, yang dikenali sebagai fly atau umpan layang, untuk menangkap ikan.

    Umpan layang dilontarkan menggunakan joran layang, reel dan tali layang, yang direka khas untuk teknik pancingan ini. Untuk melontar umpan layang yang sangat ringan ini memerlukan teknik yang sangat berbeza daripada jenis-jenis lontaran yang lain. Umpan layang selalunya menyerupai pelbagai jenis serangga, anak ikan atau organisma yang menjadi makanan ikan di alam semula jadi.

    Perbezaan terbesar antara pancingan layang dengan teknik pancingan yang lain adalah terletak pada talinya. Tali layang mempunyai beratnya yang tersendiri yang akan membawa umpan layang membelah udara, manakala bagi teknik pancingan yang lain pula, berat batu ladung ataupun umpan yang diikat pada hujung tali merupakan faktor jauh lontaran. Reelnya pula berbentuk bulat dan terletak pada hujung belakang joran berbeza daripada kedudukan reel spinning dan baitcast.

    Umpan layang mempunyai beberapa jenis iaitu jenis serangga ( serangga yang terbang mahupun akuatik), anak ikan dan krustasea. Umpan layang ada yang timbul dan juga tenggelam, daripada saiz beberapa milimeter sehinggalah sepanjang 30cm.

    Umpan layang diperbuat daripada bahan semula jadi seperti rambut, bulu mahupun pelepah dan juga bahan sintetik yang diikat pada sebentuk mata kail dan diolah untuk menyerupai organisma yang ingin ditiru. Bentuk, saiz dan warna umpan layang yang dibuat oleh seorang pemancing layang selalunya adalah berdasarkan jenis serangga, ikan atau mangsa yang terdapat di kawasan padang pancingnya.

    Teknik pancingan layang meskipun sangat popular di kalangan pemancing ikan jeram seperti trout dan salmon, namun ia juga boleh diaplikasikan di perairan air masin untuk memikat pelbagai jenis ikan daripada spesies ikan kecil sehinggalah besar seperti ikan GT, tuna, layaran dan juga jerung.

    Teknik pancingan layang juga boleh diaplikasikan di perairan air masin untuk memikat pelbagai jenis ikan daripada spesies ikan kecil sehinggalah besar.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda