LONDON, 27 DIS – Teknologi kecerdasan buatan (AI) telah menggandakan jumlah pesakit strok United Kingdom (UK) yang pulih tiga kali ganda, hingga ke tahap di mana mereka boleh melakukan aktiviti harian, menurut penyelidikan baharu yang diterbitkan hari ini.
Analisis peringkat awal menunjukkan lebih 111,000 orang pesakit yang disyaki menghidap strok yang penjagaannya termasuk penggunaan teknologi mendapati ia mengurangkan masa berjumpa doktor dan rawatan bermula selama lebih 60 minit, ini sekali gus membawa kepada keputusan yang lebih baik.
Peratusan pesakit yang mampu kembali melakukan aktiviti harian telah meningkat daripada 16 peratus kepada 48 peratus, menurut dapatan analisis platform pengimejan e-Stroke Brainomix.
Platform itu membantu doktor untuk memahami imbasan otak dan membolehkan mereka mengongsikan imej dengan pakar dari seluruh dunia yang boleh mengaksesnya dari jauh.
“AI berpotensi untuk mengubah Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) dengan memberikan diagnosis yang lebih cepat dan tepat, dan memberi pengesahan kepada pesakit untuk mendapatkan rawatan yang mereka perlukan, apabila ia diperlukan,” kata setiausaha kesihatan UK, Steve Barclay dalam satu kenyataan.
“Brainomix merupakan contoh terbaik bagaimana kejayaan boleh dicapai, menggunakan kuasa AI untuk mengurangkan masa diagnosis semasa rawatan.”
Carol Wilson, seorang pesakit strok, berkata diagnosis dan rawatan yang tepat hasil daripada kehebatan teknologi telah membolehkannya untuk duduk dan berbual bersama keluarga pada hari yang sama selepas menerima rawatan.
Lebih 85,000 orang mengalami strok di UK setiap tahun. – AFP










