LONDON, 27 JAN – Dua ikon muzik terkenal Britain, Elton John dan Paul McCartney, menyeru kerajaan UK kelmarin untuk melindungi penggiat seni kreatif daripada ancaman kecerdasan buatan (AI), di tengah-tengah perundingan mengenai perubahan undang-undang hak cipta.
Kerajaan Perdana Menteri Keir Starmer sedang mempertimbangkan untuk merombak undang-undang bagi membolehkan pembangun AI menggunakan kandungan pencipta yang tersedia dalam talian untuk membangunkan model mereka, melainkan pemilik hak cipta memilih untuk menarik diri.
Perubahan yang dicadangkan berpotensi membenarkan syarikat teknologi menggunakan bahan dalam talian tanpa mematuhi hak cipta jika ia digunakan untuk tujuan perlombongan teks atau data.
Bagaimanapun, pengkritik termasuk legenda muzik pop John dan McCartney mempersoalkan bagaimana artis dapat menarik diri daripada pelbagai program generatif AI serta memantau penggunaan karya mereka dalam talian.
“Langkah-langkah sedang diambil untuk membolehkan syarikat AI mengetepikan undang-undang hak cipta tradisional yang melindungi sumber pendapatan artis,” kata John kepada The Sunday Times.
“Ini akan membolehkan syarikat teknologi besar global mendapat akses percuma dan mudah kepada karya artis untuk melatih AI mereka dan mencipta muzik yang bersaing,” tambahnya.
Artis berusia 77 tahun itu, yang terkenal dengan lagu seperti Rocket Man dan Tiny Dancer, memberi amaran bahawa langkah tiu akan ‘mengurangkan dan mengancam pendapatan artis muda’ sambil menegaskan komuniti pemuzik menolak sepenuhnya cadangan tersebut.
Kerajaan dalam kenyataannya memaklumkan, perundingan yang berlangsung sehingga 25 Februari itu bertujuan meneroka isu-isu utama termasuk kaedah pencipta memberikan lesen dan memperoleh ganjaran atas penggunaan karya mereka. – AFP