CALIFORNIA, 23 MEI – Sebuah syarikat telah mencipta teknologi untuk memastikan saudara mara yang telah pergi menjadi ‘hidup’ dengan menggunakan kecerdasan buatan (AI) mewujudkan ‘kembar digital’ interaktif yang boleh bercakap kepada ahli keluarga dengan ketepatan yang menakjubkan, menurut laporan.
Syarikat dari California, DeepBrain AI, mengumpul rakaman video dan audio orang tersayang dan membolehkan awda bercakap dengan versi AI mereka selepas mereka meninggal dunia, menurut laporan daripada PC Gamer.
Namun, ini bukan video ‘deepfake’ AI dengan respons yang telah pun ditetapkan, sebaliknya tiruan AI itu dijana berdasarkan video sebenar dan rakaman, kata laporan itu.
Syarikat itu mendakwa hasil yang dibina dari teknologi AI miliknya itu mempunyai 96.5 peratus persamaan daripada orang asal dan ini bermakna ahli keluarga dan rakan rapat tidak akan berasa kurang selesa semasa bercakap dengan ahli keluarga versi AI.
Dalam contoh video yang disiarkan di laman YouTube syarikat itu yang bertajuk [Re;memory] To Meet You Again As a Digital Twin, seorang wanita bercakap dengan versi AI mendiang suaminya, Lee, yang memberitahunya untuk kekal sihat sehingga mereka bertemu semula dan meyakinkan dia mencintainya.
Syarikat itu juga berkata kembar AI mempunyai masa tindak balas kurang daripada satu saat, menjadikan perbualan semula jadi dan realistik.
Bagaimanapun, teknologi ini tidak murah kerana DeepBrain AI mengenakan bayaran sebanyak AS$50,000 untuk perkhidmatan tersebut, menurut PC Gamer lagi. – ANN/The Star
