Thursday, December 26, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teknologi bantu pulih bahasa Orang Asli

    BLOOMINGTON – Dalam satu usaha terbaharu, para pakar linguistik kini berpaling kepada teknologi canggih untuk memulihkan bahasa Orang Asli Amerika yang terancam – dan menghidupkan semula warisan generasi Orang Asli – dengan pendekatan baharu seperti buku kanak-kanak dan aplikasi telefon pintar.

    Demi mencapai matlamat itu, satu usaha telah dijalankan, di mana tiga wanita Orang Asli Amerika memikirkan sebaik mungkin ketika mereka berkumpul di depan sebuah komputer, cuba mengingati dan merakam puluhan perkataan dalam bahasa Apache yang berkaitan dengan aktiviti harian seperti memasak dan makan.

    Mereka sedang mencipta sebuah kamus bahasa Inggeris-Apache dalam talian, satu daripada beberapa projek yang bertujuan untuk memelihara bahasa Orang Asli yang terancam di Amerika Syarikat (AS).

    Perisian RWC selamatkan bahasa orang asli Amerika

    Wanita-wanita ini bekerja dengan menggunakan perisian Koleksi Perkataan Pantas (Rapid Word Collection atau RWC), yang menggunakan algoritma untuk mencari pangkalan data teks dan audio Apache untuk mencari perkataan-perkataan yang disifatkan sudah dilupakan.

    Kemudian, perkataan-perkataan ini didefinisikan, diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan sebutannya direkodkan, supaya pengguna kamus itu tahu bagaimana untuk mengucapkannya dengan betul.

    Wilhelm Meya, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengerusi The Language Conservancy, bergambar di Bloomington, Indiana. – AFP
    Antara yang hadir untuk mendengar Persidangan ICILDER 2023 (Persidangan Antarabangsa mengenai Dokumentasi, Pendidikan, dan Pemulihan Bahasa Asli) di Bloomington, Indiana. – AFP
    Pakar bahasa mengimpikan untuk menjana semula identiti budaya penduduk asli Amerika Utara yang telah musnah semasa Persidangan ICILDER 2023. – AFP
    Para tetamu yang hadir mendengar semasa Persidangan ICILDER 2023 di Bloomington, Indiana. – AFP
    Ashleigh Surma (kanan) membantu Elva Case (kiri) dan Linda Lupe (tengah) dalam merekodkan bahasa orang asli semasa Persidangan ICILDER 2023 di Bloomington, Indiana. – AFP

    Seorang guru bernama Joycelene Johnson dan dua rakan sekerja lain mengesahkan definisi perkataan Apache ‘kapas,’ yang bermaksud kentang dalam bahasa Inggeris.

    “Penggunaan dalam bahasa bertulis ini adalah baik bagi mereka yang bukan penutur asli – sekurang-kurangnya mereka akan mempunyai sumber rujukan seperti sebuah muzium,” kata Johnson, seorang guru berusia 68 tahun yang mengajar kosa kata dan tatabahasa Apache.

    Menurut Johnson, di sekolah dwibahasa di kawasan tempat tinggalnya, terdapat kira-kira 1,000 pelajar – tetapi hanya seorang daripadanya, seorang pelajar tahun 11, yang fasih berbahasa Apache.

    Johnson menyampaikan ucapan semasa menghadiri salah satu daripada beberapa bengkel dalam Persidangan Antarabangsa tentang Dokumentasi, Pendidikan dan Pemulihan Bahasa Asli (ICILDER) pada hujung minggu yang lalu di Universiti Indiana.

    Wakil-wakil daripada kira-kira 40 kumpulan orang asli dari seluruh dunia berkumpul di bandar kolej Bloomington hanya beberapa hari selepas AS – yang mempunyai kira-kira 6.8 juta penduduk orang asli Amerika, atau kira-kira dua peratus daripada penduduknya – menyambut Hari Orang Asli.

    Para pakar linguistik, guru-guru, pelajar-pelajar, penyelidik-penyelidik dan pemimpin-pemimpin orang asli menghabiskan hujung minggu tersebut dengan merancang bagaimana untuk menyelamatkan bahasa-bahasa yang terancam daripada kepupusan.

    Daripada lebih 6,000 bahasa Orang Asli yang diiktiraf di seluruh dunia, hampir separuh daripadanya diancam risiko kepupusan, dengan kira-kira 1,500 di antaranya menghadapi kepupusan serta-merta, menurut satu kajian tahun 2021 dari UNESCO.

    Perisian RWC itu dibangunkan oleh The Language Conservancy (TLC), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berazam untuk melindungi kira-kira 50 bahasa Orang Asli di seluruh dunia, bagi menghasilkan kamus-kamus sedemikian dengan segera.

    Peranan TLC dan Wilhelm Meya

    TLC, yang mempunyai bajet AS$3 juta, kerap bekerjasama dengan ahli linguistik dan guru-guru bahasa orang asli Amerika untuk menghasilkan kamus-kamus itu.

    Menurut Wilhelm Meya, Ketua Pegawai Eksekutif TLC dan salah seorang penganjur ICILDER, perisian itu ‘telah meningkatkan kecekapan dalam aliran kerja’ – kini, sebuah komuniti Orang Asli boleh membina kamus dari asas dalam masa setahun, berbanding 20 tahun sebelum ini.

    “Ini membolehkan kami melayani bahasa dengan cepat dan membina infrastruktur yang diperlukan bagi memastikan kelangsungan bahasa tersebut pada masa hadapan,” jelas ahli antropologi berusia 51 tahun yang berketurunan Austria-Amerika itu.

    Kadar pelaksanaannya amat penting, kerana masa amat berharga: di AS dan Kanada, generasi terakhir penutur asli bahasa orang asli semakin berkurangan.

    Menurut TLC, daripada 219 bahasa orang asli, 143 daripadanya berisiko pupus di AS, sementara 75 daripada 94 bahasa yang diiktiraf di Kanada menghadapi risiko serupa.

    Namun, ini hanya merupakan sebahagian kecil daripada 400 hingga 500 bahasa Orang Asli yang pernah digunakan di kedua-dua negara tersebut sebelum kedatangan orang Eropah dan pembunuhan penduduk asli sekitar 500 tahun yang lalu.

    “Situasi ini benar-benar mencecah tahap kritikal,” kata Meya.

    Menurut Meya, dengan purata usia penutur asli bahasa sekitar 75 tahun, hanya tinggal beberapa tahun untuk mendokumentasikan bahasa-bahasa itu sebelum ia hilang selamanya.

    “Setelah ia hilang, ia hilang. Awda benar-benar tidak boleh mengembalikannya dengan mudah,” kata Meya, di mana organisasinya memperuntukkan bahan pengajaran mereka secara percuma di seluruh AS dan di kawasan Orang Asli Amerika.

    “Apabila bahasa hilang, budaya juga hilang,” katanya.

    Pulihara bahasa tanpa batasan

    Jacob Chavez, seorang pelajar berusia 26 tahun yang sedang mempelajari bahasa Cherokee dan yang menganggap dirinya sebagai penyokong tegar teknologi bahasa, mengatakan bahawa beliau menghargai bagaimana teknologi itu membolehkan komuniti untuk ‘merakamkan perkara dengan lebih cepat dan menyimpan banyak maklumat untuk tempoh yang lebih lama daripada sebelum ini.’

    Paula Hawkins, yang mengajar bahasa Tahltan – yang digunakan di sebahagian kawasan British Columbia – mengatakan beliau sangat gembira melihat kamus dalam talian, sama seperti ibu bapanya yang membantu mencipta kamus Tahltan pertama dalam bentuk cetakan pada tahun 1980an.

    Tetapi rakan sekerja beliau, Danielle North King, yang berusia 51 tahun dan berasal dari kaum Chemehuevi atau Nuwuvi, bimbang bahawa projek-projek sedemikian akan memaksa ‘cara penulisan Barat’ ke atas ‘cara pertuturan Orang Asli’ – majoriti besar bahasa manusia adalah bersifat lisan dan tidak mempunyai sistem penulisan.

    Memang benar, pemimpin-pemimpin orang asli Lakota mengecam TLC tahun lalu, selepas organisasi tersebut cuba mengenakan hak cipta ke atas bahan pengajaran yang merangkumi rakaman daripada pemimpin kaum itu.

    “Kami tidak memiliki hak cipta atau hak milik intelek (intellectual property) bagi mana-mana bahasa di bawah kerjasama kami,” jelas Meya, sambil menambah matlamatnya adalah untuk melindungi budaya orang asli.

    “Jika kita berada di sebuah hospital dan saya adalah seorang doktor berkulit putih dan saya mempunyai seorang pesakit orang asli, adakah saya tidak dibenarkan untuk merawatnya atau berkhidmat kepadanya kerana saya bukan Orang Asli?” soal Meya.

    “Isu bangsa benar-benar boleh menjadi suatu halangan dalam jenis kerja seperti ini,” jelas Meya, ketika berhadapan dengan subjek yang sensitif itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda