Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Pencapaian bukan diukur melalui akademik semata-mata, tetapi juga melalui keupayaan guru-guru dalam membentuk akhlak yang mulia bagi pelajar dengan ilmu Islam berlandaskan aliran Ahli Sunah Wal Jama’ah.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengingatkan perkara ini semasa berangkat mengurniakan titah di Majlis Konvokesyen kali ke-15 KUPU SB Tahun 2025 dan seterusnya berkenan menyempurnakan pengurniaan Ijazah dan Diploma kepada para graduan pada majlis yang berlangsung di Dewan Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.
Dalam titah Baginda menyambut baik usaha KUPU SB dalam memperkemas Pelan Strategik 2025-2029 yang antara lain memberi penekanan kepada kecemerlangan akademik, penguasaan kemahiran dan pembentukan akhlak mulia melalui pengemaskinian struktur program dan pengisian kurikulum yang lebih relevan, yang sejajar dengan keperluan semasa.
Seiring dengan perkembangan teknologi melalui Kecerdasan Buatan (AI), titah Baginda, KUPU SB sebagai institusi pengajian tinggi yang lain perlu bijak memanfaatkan peluang ini untuk mempertingkatkan penguasaan teknologi supaya mahasiswa dan tenaga akademik tidak ketinggalan dalam saingan arus perdana.

Baginda melihat teknologi berpotensi untuk dijadikan platform yang berkesan dalam memperkukuh kaedah pengajaran dan pembelajaran sejajar dengan usaha berterusan pihak Kerajaan menyebarkan ajaran agama Islam berlandaskan aliran Ahli Sunah Wal Jama’ah.
Dalam titah Baginda turut mengingatkan bahawa penggunaan teknologi perlu dilakukan secara berhemah supaya tidak menjejaskan nilai, adab serta etika kemanusiaan.
“Ia bukan sebagai pengganti peranan guru dalam pendidikan, sesungguhnya sentuhan keramat seorang guru dalam proses pendidikan adalah tetap penting, relevan dan tidak mungkin ditukar ganti,” tegas Baginda.
Selain daripada kejayaan pendidikan Islam, Baginda bertitah menyeru agar KUPU SB terus menjadi benteng kepada pelbagai aliran pemikiran tentang Islam yang ada di antaranya, bertentangan dengan pegangan Ahli Sunah Wal Jama’ah.
Kerana itu, Baginda mengingatkan KUPU SB dan seluruh warga mesti memahami perkara ini dengan bersedia untuk menangkis segala serangan pemikiran atau teknologi baru yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.
Di akhir titah Baginda merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Ahli-Ahli KUPU SB, barisan pentadbiran dan pengurusan KUPU SB di bawah pimpinan Ra’es, pensyarah dan seluruh warga KUPU SB, dan tidak lupa juga kepada ibu bapa dan penjaga graduan yang turut sama-sama hadir memeriahkan dan meraikan kejayaan anak-anak mereka dalam Majlis Konvokesyen ke 15 ini.

