Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teknologi canggih bakal kurangkan gula dalam jus buah-buahan?

    CANBERRA, 20 FEB – Agensi sains kebangsaan Australia telah membangunkan teknologi baharu yang mampu mengurangkan dua pertiga paras gula dalam jus buah-buahan.

    Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Perindustrian Komanwel (CSIRO) hari ini mengumumkan butiran teknologi berasaskan penapaian yang menukar gula semula jadi dalam jus buah-buahan kepada karbohidrat kompleks, sekali gus mengurangkan kandungan gula, lapor Xinhua.

    Teknologi ini telah dipatenkan oleh CSIRO pada 2018 namun masih ditambah baik kerana agensi itu sedang mencari rakan kongsi untuk mengkomersialkannya.

    Ahli pasukan penyelidik projek itu Gemma Howells berkata produk akhir mempunyai lebih sedikit kalori dan lebih banyak antioksidan selain kurang gula.

    “Tiada bahan tambahan, tiada pemanis yang terlibat dan awda boleh mendapat manfaat pemakanan jus tanpa banyak gula,” katanya kepada Perbadanan Penyiaran Australia.

    Forum Menteri Australia dan New Zealand bagi Peraturan Makanan pa-da tahun 2021 melaraskan penarafan bintang kesihatan (HSR) untuk jus buah-buahan kepada lebih rendah daripada diet cola kerana kandungan gulanya yang tinggi.

    Jus buah-buahan boleh mengandungi sehingga 10 sudu teh gula semula jadi, lebih banyak daripada pengambilan harian yang disyorkan untuk orang dewasa.

    Doktor dari Persatuan Perubatan Australia menggesa kerajaan mengenakan cukai baharu ke atas minuman manis dengan alasan ia dapat mengurangkan kadar obesiti, kanser, penyakit jantung, strok dan diabetes jenis 2.

    Howell berkata pasukan CSIRO berharap teknologi baharu itu dapat membantu meningkatkan HSR jus. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda