JEPUN – Bertemakan People’s Living Lab, teknologi generasi akan datang yang dibangunkan oleh syarikat Jepun dan institusi penyelidikan, seperti sel solar perovskit dan sel stem pluripotent (iPS), sedang dipamerkan di Ekspo Osaka-Kansai 2025.
Syarikat yang berhasrat untuk menyelesaikan masalah yang biasa dialami oleh semua manusia sedang mempromosikan teknologi mereka dalam bidang seperti penyahkarbonan, penjagaan perubatan dan kesihatan.
Tema Ekspo Osaka-Kansai 2025 adalah Merancang Masyarakat Masa Depan untuk Kehidupan Kita. Mengenai bidang penjagaan perubatan dan kesihatan, ‘jantung’ yang diperbuat daripada sel iPS dipamerkan di pavilion milik agensi utama Pasona Group Inc.
Jantung itu dibangunkan oleh syarikat permulaan yang berpangkalan di Tokyo, Cuorips Inc. dan pelawat boleh menyaksikannya berdegup.
Mengenai penyahkarbonan, banyak syarikat mempromosikan sel solar perovskit, yang empunyai ciri-ciri ringan dan fleksibel, serta teknologi berkaitan hidrogen.






Sekisui Chemical Co. memasang sistem tenaga solar perovskit sepanjang 250 meter (m) di terminal bas di hadapan tapak ekspo. Elektrik yang dijana pada waktu siang digunakan untuk menghidupkan lampu pada waktu malam.
Manakala Toyoda Gosei Co. dan syarikat permulaan yang berpangkalan di Kyoto, EneCoat Technologies Co. telah membangunkan jaket yang menjana elektrik, yang akan dipakai oleh beberapa kakitangan sepanjang acara itu.
Sementara itu, Panasonic Holdings Corp. di luar pavilionnya pula mempamerkan prototaip sel solar perovskit berasaskan kaca dengan karya seni tertera pada permukaannya.
“Kami ingin menunjukkan usaha ke arah mencapai masa depan yang mampan untuk orang ramai di seluruh dunia,” kata pegawai eksekutif syarikat itu, Michiko Ogawa, kepada pemberita.
Teknologi yang dijangka membawa perubahan kepada gaya hidup dan pengangkutan turut dipamerkan.
NTT Corp. tidak ketinggalan mempromosikan Rangkaian Optik dan Wayarles Inovatif (IOWN), infrastruktur komunikasi generasi akan datang yang membolehkan pemindahan data berkelajuan tinggi, kependaman rendah dan volum besar.
Syarikat itu juga telah memasang peranti komunikasi yang mampu menghantar bukan sahaja data visual dan audio tetapi juga sensasi haptik.
Sementara itu, Kubota Corp. mempamerkan robot autonomi yang mampu menjalankan tugas pertanian serta kerja kejuruteraan awam dan pembinaan.
Beberapa bas elektrik yang beroperasi di dalam tapak ekspo adalah kenderaan pemanduan autonomi Tahap 4, yang boleh beroperasi tanpa bantuan atau campur tangan pemandu manusia dan dilengkapi dengan sistem untuk menjana kuasa sendiri secara automatik semasa bergerak. – ANN/The Yomiuri Shimbun

