DUBAI – Virgin telah melancarkan rekaan prototaip pod, Hyperloop yang sangat menakjubkan di mana ia berupaya untuk membawa penumpang pada tahap kelajuan 1,200 kilometer/jam.
Dengan tahap kelajuan yang sangat pantas itu setentunya dengan mudah ia boleh menghubungkan para penumpang dari beberapa bandar raya utama ke Abu Dhabi hanya dalam tempoh singkat iaitu sekitar 12 minit berbanding pada kelazimannya iaitu sekitar 90 minit.
Prototaip yang ditampilkan baru-baru ini jelas memperlihatkan kemewahan dan kehebatan pengangkutan awam yang menampilkan konsep futuristik tersebut di mana ia dijangka bakal dilancarkan seawal tahun 2020.
Pihak Berkuasa Pengangkutan Jalan Raya Dubai (RTA) pernah mengutarakan hasrat untuk mengurangkan jumlah pengguna jalan raya sebanyak 25 peratus menjelang tahun 2030 dan reka bentuk hyperloop terbaru yang dilancarkan pada Bulan Inovasi UAE ini jelas dianggap sebagai satu usaha terbaik untuk mendukung hasrat tersebut.
Virgin Hyperloop One telah melaburkan kos sehingga berjuta-juta pound untuk merealisasikan projek yang turut mendapat kerjasama dari Dubai RTA.


Ruang dalaman pod ini memang kelihatan sangat mewah apabila ia dilengkapi dengan kerusi yang diperbuat daripada bahan kulit terpilih dan skrin yang memaparkan maklumat dan hiburan pada definisi tinggi.
Setiap pod tersebut direka sesuai mengikut jarak sesebuah perjalanan dan boleh menampung sehingga 10 orang penumpang dalam satu masa.
“UAE dan RTA merupakan antara pendukung utama dalam menjayakan projek teknologi Hyperloop ini dan ia setentunya merupakan sesuatu yang cukup menyeronokkan,” Ketua Pegawai Eksekutif Virgin Hyperloop One, Rob Lloyd kepada Daily Mail Online.
“Tumpuan kami pada tahun 2018 ini adalah untuk meneruskan dan meningkatkan lagi kerjasama rapat dengan RTA demi memastikan kemajuan pelaksanaan projek ini melalui beberapa fasa tertentu akan bergerak dengan lancar,” tambah Lloyd.
“Matlamat utama kami adalah untuk menerokai daya maju rangkaian UAE Hyperloop yang lebih luas,” jelas Lloyd.
Hyperloop menggunakan sistem pendorong elektromagnetik untuk mempercepatkan pergerakan pod melalui tiub vakum.
Perkhidmatan Hyperloop ini dijangka berupaya untuk membawa kira-kira seramai 10,000 penumpang dalam tempoh masa sejam bagi menghubungkan dua arah destinasi.
“Apabila diperkenalkan di masa hadapan, teknologi hyperloop akan memberikan kesan positif dalam perancangan sebuah bandar sekaligus menyediakan ruang letak kereta yang lebih luas,” jelas Ketua Pengarah RTA, Mattar Al Tayer.
“Revolusi pengangkutan awam itu secara tidak langsung akan memudahkan pergerakan orang awam dari satu destinasi ke destinasi lainnya termasuk pusat logistik seperti lapangan terbang, pelabuhan dan lain-lain,” jelasnya.
“Setiap pod ini dilengkapi dengan kamera dan teknologi elektro-mekanik di mana ciri ini dapat diaktifkan secara mudah hanya dengan pergerakan,” tambahnya.

Dubai telah menganjurkan pertandingan reka bentuk yang berkaitan dengan sistem pengangkutan berkelajuan tinggi dicadangkan oleh pengasas bersama Tesla, Elon Musk pada tahun 2013.
Pada tahun 2016, bandar raya tersebut telah melahirkan minat dalam memeterai perjanjian bersama dengan Hyperloop One yang berpangkalan di Los Angeles sekaligus meningkatkan potensi perhubungan dengan ibu kota UAE, Abu Dhabi dalam tempoh lima tahun akan datang.
Sistem tersebut juga dirancang untuk diperluaskan bagi menghubungkan UAE bersama dengan negara-negara jiran yang lain seperti menghubungkan Dubai bersama ibu negara Arab Saudi, Riyadh yang dijangka boleh memakan masa dalam tempoh 50 minit berbanding dua jam melalui pesawat.
“Teknologi sedang berkembang dan mengubah cara hidup kita, maka inovasi terhadap rekaan sesebuah pengangkutan awam itu juga wajar untuk terus dipertingkatkan,” jelas Pengerusi Eksekutif Hyperloop One, Shervin Pishevar.
“Hyperloop One menumpukan kepada aspek pengangkutan awam yang memiliki fungsi yang cekap, cepat dan bersih. Ia secara tidak langsung akan menukar persepsi dalam pengangkutan sama ada satu perhubungan atau kargo pemindahan,” jelas Pishevar.
“Dubai memang merupakan lokasi strategik bagi merealisasikan Hyperloop One kerana ia merupakan pusat pengangkutan global abad ke-21 dan pemimpinnya turut memahami bahawa Hyperloop One berusaha untuk membawakan pengangkutan pada peringkat yang lebih tinggi,” tambahnya.
Ruang dalaman dan susun letak tempat duduk berbeza setentunya menawarkan pengalaman kembara baru kepada penumpang berdasarkan daripada keperluan, cara iaitu sama ada dilakukan secara solo atau berkumpulan dan tujuan seperti mesyuarat, perniagaan atau perjalanan kasual.
Ia secara tidak langsung menjadi satu peluang untuk melakukan transformasi kepada UAE iaitu daripada pengguna teknologi kepada pencipta teknologi, mengukuhkan kepakaran bagi industri global yang baru sejajar dengan Wawasan 2021 UAE. – Agensi