ALBUQUERQUE – Penyelidik di makmal terkemuka AS telah mengumumkan bahawa mereka telah menghasilkan imbasan resolusi yang tertinggi pernah dilakukan terhadap kerja dalaman fosil rangka tyrannosaur dengan menggunakan pancaran neutron dan X-ray yang berkuasa tinggi, menghasilkan petunjuk baru bagi membantu para paleontologi dalam mencari jawapan terhadap proses evolusi T.rex, baru-baru ini.
Pegawai-pegawai dari Makmal Kebangsaan Los Alamos dan Muzium Sejarah Semula Jadi dan Sains New Mexico mengatakan bahawa mereka dapat melihat dengan teliti ke dalam rangka “Bisti Beast” keluarga kepada spesies T.rex yang telah hidup selama jutaan tahun lalu yang mana pada masa ini tempat tersebut dikenali sebagai barat laut New Mexico.
Imej yang diperolehi memperlihatkan otak dinosaur dan rongga sinus secara terperinci, laluan beberapa saraf dan saluran darah serta gigi yang terbentuk namun tidak pernah tumbuh.
Thomas Williamson, Kurator Muzium Paleontologi dan sebahagian daripada kumpulan yang pada mulanya mengumpulkan spesimen pada tahun 1990-an, menjelaskan bahawa imbasan yang diperolehi itu membantu para paleontologi dalam memahami bagaimana spesies yang berbeza dalam kalangan keluarga T.rex mempunyai hubungan antara satu sama lain dan bagaimana spesies tersebut mengalami proses evolusi.
“Kami sedang menjalankan anatomi terhadap bahagian dalaman rangka itu yang mana kami akan melihat sesuatu yang tidak pernah dilihat sebelum ini,” katanya sewaktu sidang akhbar baru-baru ini.
T.rex dan tyrannosaur yang lainnya adalah pemangsa dominan yang sangat besar akan tetapi mereka lebih berkembang daripada spesies yang kecil.
Sisa-sisa fosil haiwan Bisti atau Bistahieversor sealeyi ini telah dijumpai di kawasan Bisti/De-Na-Zin Wilderness berdekatan dengan Farmington, New Mexico. Pada masa ini, kawasan tersebut mempunyai tanah yang kering dan berdebu yang mana pada zaman tyrannosaur dulu, persekitarannya adalah lebih panas dan berpaya serta dipenuhi dengan pokok-pokok yang tinggi.
Spesies tersebut telah hidup 10 juta tahun sebelum T.rex. Ahli sains mengatakan bahawa ia menggambarkan salah satu tyrannosaur zaman awal yang mempunyai sifat maju – termasuk mempunyai kepala yang besar, ciri-ciri penghancur tulang dan sayap hadapan yanag kecil – yang mana adalah sesuatu yang penting bagi T.rex itu untuk bertahan hidup.
Pegawai mengatakan bahawa tengkorak dinosaur itu adalah objek terbesar yang pernah melalui imbasan CT sinar-X dan resolusi tinggi neutron yang dilaksanakan di Los Alamos.
Pada kebiasaanya, teknologi ini hanya digunakan untuk kerja makmal yang mempunyai kaitan dengan pertahanan dan keselamatan negara.
Rangka yang berukuran kira-kira 40 inci (102 sentimeter) ini memerlukan imbasan sinar-X yang lebih kuat daripada yang biasa digunakan. Di situ, proton dan elektron makmal itu dapat digunakan.
Sven Vogel, seorang pekerja di Pusat Sains Neutron Los Alamos berkata bahawa keupayaan pengimbasan tiga dimensi di makmal itu telah menghasilkan imej yang membolehkan ahli paleontologi melihat dinosaur seperti apa yang telah terjadi pada masa kematiannya dan bukan hanya rangka mineral fosil yang telah ditinggalkan selepas puluhan juta tahun.
Kumpulan penyelidik yang terdiri daripada kakitangan Universiti New Mexico dan Universiti Edinburgh telah dijadualkan untuk membentangkan kerja mereka di persidangan paleontologi antarabangsa di Kanada pada minggu hadapan.
Kat Schroeder, seorang calon Ph.D di Universiti New Mexico yang telah mengerjakan projeknya itu selama setahun mengatakan bahawa teknologi pengimbasan itu mampu mendedahkan butir-butir yang tidak dijumpai pada imbasan yang lama. Dan hasil daripada imej tiga dimensi itu dapat dikongsi bersama penyelidik yang lain di seluruh dunia tanpa menjejaskan integriti fosil asal.
Meliputi bidang kerja yang menumpukan kepada tingkah laku dinosaur, Schroeder melihat gigi haiwan Bisti yang tidak tumbuh itu adalah suatu yang menakjubkan.
“Melihat kepada tahap kecepatan spesies itu menggantikan gigi jelas memperlihatkan kepantasannya berkembang selain daripada ia turut memberitahu saya akan tenaga yang mereka perlukan dan bagaimana aktifnya mereka,” katanya. “Perkara kecil sebegitu yang membolehkan kita untuk lebih memahami spesies itu dan persekitaran kuno. – AP