INGLEWOOD – Dengan mikrofon di tangan, Bono menyanyikan lagu Vertigo seolah-olah awda sedang berdiri bersamanya di atas pentas Teater Beacon, New York.
Pengalaman barisan hadapan menjadi sangat peribadi seolah-olah penyanyi utama U2 itu memandang tepat ke arah awda sebelum kamera berputar menampilkan lautan peminat yang melambai dan bersorak.
Namun ini bukan konsert biasa. Ia adalah pengalaman mendalam dari dokumentari konsert Bono: Stories of Surrender, yang kini tersedia di Apple TV+ dan dihidupkan semula secara eksklusif melalui peranti Apple Vision Pro. Dengan video 8K dan audio spatial, penonton dibawa menyusuri persembahan secara 180 darjah seolah-olah berada di atas pentas bersama Bono.
“Ada satu bentuk keintiman baharu yang dapat dicapai,” kata Bono, yang mengakui teknologi imersif merangsang deria dan emosi penonton dengan lebih mendalam berbanding media tradisional. “Ia bukan sekadar berada di dalam bilik tetapi dalam benak fikiran.”
Kini, teknologi seperti Apple Vision Pro dan Meta Quest 3 serta lokasi futuristik seperti Sphere dan Cosm mengubah sepenuhnya pengalaman muzik, filem dan persembahan langsung. Setiap tempat duduk menjadi tempat terbaik.



Nama-nama besar seperti U2, Metallica, Alicia Keys, Megan Thee Stallion, T-Pain, Phish dan The Weeknd turut menyertai platform ini. Malah filem ikonik The Matrix juga diberi nafas baharu dalam bentuk imersif.
“Ini adalah masa depan,” kata Robert Trujillo, pemain gitar Metallica. Persembahan kumpulan itu di Mexico City pada Mac lalu dipersembahkan melalui Vision Pro, dan menurutnya, pengalaman itu sangat menakjubkan.
“Rasa seperti boleh menyentuh penonton dan ahli kumpulan,” katanya. “Kualiti bunyi sangat luar biasa dari bunyi ambien hingga laungan peminat. Satu pengalaman yang sangat istimewa.”
MASA DEPAN MUZIK DAN TEKNOLOGI IMERSIF
Bono bukan asing dalam menggunakan teknologi untuk menghubungkan dengan peminat.
Pada 2014, album U2 Songs of Innocence dimuat naik secara automatik ke semua peranti Apple. Pada 2023, U2 menjadi kumpulan pertama membuat persembahan di Sphere Las Vegas – sebuah lokasi persembahan ultra moden bernilai AS$2.3 bilion setinggi 366 kaki.
Kini, menerusi Stories of Surrender, Bono tampil solo mengenang zaman kanak-kanak, keluarga, kerjayanya sebagai bintang rock dan aktivis. Ia adalah filem pertama dirakam dalam format Apple Immersive Video, dengan animasi 3D menghidupkan karya buku autobiografi beliau Surrender: 40 Songs, One Story.
Bono turut menggunakan Apple Pencil Pro untuk melukis imej dalam filem tersebut. “Saya menyanyi tentang ibu saya, dan nama Iris muncul secara perlahan. Saya terkejut, walaupun saya yang melukisnya. Ada juga momen di mana saya melihat lukisan bapa saya duduk di sebelah dan sebahagiannya adalah hasil tangan saya,” ujarnya.
Tambah beliau, “Ketika itu saya terfikir ini mungkin lebih daripada sekadar teknologi. Ini seperti satu bentuk sihir. Bukan helah biasa, tetapi seperti alkimia perasaan yang tak dapat digambarkan.”
Trujillo yang jarang menonton semula persembahannya berkata, pengalaman imersif tersebut membuatkan beliau terasa seperti kembali ke saat persembahan. “Genre rock keras semakin dilupakan. Tapi ini mengembalikan semula keterujaan itu. Ia memperlihatkan kekuatan emosi antara artis dan peminat.”
ARENA IMERSIF BAWA DIMENSI BAHARU PERSEMBAHAN
Selain headset, lokasi seperti Sphere dan Cosm membolehkan pengalaman imersif dikongsi ramai secara langsung. Menurut Baz Halpin, CEO Silent House Group yang menghasilkan persembahan Eagles di Sphere, “Ini adalah realiti maya tanpa perlu memakai cermin mata.
Visual yang ditampilkan kini seperti rollercoaster dan filem dan awda adalah sebahagian daripadanya.”
Silent House kini merancang persembahan kediaman baharu untuk kumpulan Backstreet Boys yang akan bermula Julai ini di Sphere.
Sementara itu, Cosm mempersembahkan pengalaman shared reality lebih intim termasuk sambutan ulang tahun ke-25 filem The Matrix bermula 6 Jun di dom LED setinggi 87 kaki di Dallas dan Inglewood. Visual filem akan diselaraskan dengan persekitaran sekeliling untuk mengheret penonton lebih dalam ke dunia Neo.
“Kami terus menerajui industri teknologi imersif,” kata Jeb Terry, CEO Cosm. Mereka juga merancang untuk membuka lokasi ketiga di Atlanta menjelang 2026.
“Kami sedang memperingati filem-filem klasik yang hebat ini,” kata Naib Presiden Alexis Scalice. “Dan dalam masa sama mengekalkan pendekatan interaktif dan menyeronokkan.”
SFERA GLOBAL: MENUJU ABU DHABI DAN SETIAP PELUSUK DUNIA
Lokasi kedua Sphere akan dibuka di Emiriah Arab Bersatu dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan Abu Dhabi. Ia akan meniru skala dan teknologi Sphere Las Vegas.
Menurut Jennifer Koester, Presiden dan COO Sphere, terdapat juga perancangan membuka Sphere berskala kecil di beberapa bandar AS, berkapasiti antara 3,000 hingga 6,000 tempat duduk.
“Visi kami adalah membentuk jaringan global lokasi persembahan,” katanya.
Sementara itu, Sphere Las Vegas akan menayangkan filem klasik The Wizard of Oz pada hujung Ogos ini. Teknologi AI digunakan untuk menganalisis lakaran dan reka bentuk asal dari Muzium Akademi agar ia dihidupkan semula dalam skrin gergasi Sphere.
“Kami lihat permintaan untuk pengalaman yang lebih imersif semakin meningkat. Orang ramai mengharapkan lebih, dan tahap penanda aras kini semakin tinggi,” jelas Koester. – AP

