BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Musim tengkujuh yang melanda negara sekarang telah menjejas para petani yang melihat hasil tanaman mereka dimusnahkan akibat banjir. Namun di ladang IAM Food, tanaman tidak terjejas disebabkan penggunaan teknologi inovatif yang membantu ladang mencapai matlamat mampan.
Dalam satu kenyataan yang diterima, Pengurus Besar IAM Food, Ellin Chong berkata, “Teknologi sentiasa berubah dan mempertingkat setiap aspek perladangan, daripada penanaman kepada pembajaan. Perladangan mampan bermakna melakukannya secara efisien dan teknologi menjadikannya satu kenyataan.
Sayur-sayuran tempatan, herba, tilapia, madu kelulut dan tembikai diusahakan secara komersial di ladang dua hektar menggunakan kaedah akuaponik, hidroponik, fertigasi, perladangan vertikal dan semula jadi. Sementara pelaksanaan teknologi pertanian telah membantu mengurangkan sesetengah risiko berdepan petani tempatan, mereka masih menghadapi cabaran semasa pandemik COVID-19, seperti hasil keluaran yang lebih murah dari luar negara menjejas pasaran tempatan serta kos operasi yang tinggi.
IAM Food membekalkan hasil keluarannya kepada beberapa pasar raya tempatan. Ladang berkenaan berhasrat mendapatkan sijil Brunei Good Agriculture Practices (Brunei GAP), yang membenarkan mereka mengeksport lada dan tembikai ke negara ASEAN. Terdapat juga rancangan untuk Fasa 2, iaitu mengembang saiz dan pengeluaran ladang sebaik sahaja mereka telah menstabilkan operasi sekarang. Sementara Chong mengakui perladangan boleh menjadi industri yang sukar diceburi, beliau berkata bagi IAM Food, ia bukan mengenai ganjaran segera atau kepuasan tetapi disebabkan pengurusan ladang yang akan memberikan manfaat kepada generasi akan datang.
“Saya berharap apa yang kami lakukan sekarang akan memberi inspirasi kepada orang lain untuk bercucuk tanam. Kami perlu melakukannya dengan menunjukkan apa yang mampu kami lakukan dan bagaimana melakukannya. Satu-satunya cara memupuk kepercayaan dengan orang di luar sektor pertanian adalah membenarkan mereka masuk,” katanya.
