Tuesday, March 11, 2025
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teknologi, kreativiti tunjang pendidikan masa depan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Majlis Sambutan Hari Guru ke-34 yang berlangsung hari ini turut disemarakkan dengan petak-petak pameran berkonsepkan kemahiran dan pendidikan Sain, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) yang melibatkan pelajar-pelajar dari sekolah rendah, menengah, institusi vokasional dan teknikal serta pengajian tinggi yang diketengahkan di Dewan Persidangan Akhbar, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

    Selaras dengan tema majlis sambutan pada tahun ini Guru Berkualiti Pemacu Transformasi Pendidikan, pameran telah dibahagikan kepada dua iaitu Ruang Utama dan Ruang Pameran.

    Dalam Ruang Utama itu memaparkan petikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Syair Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien.

    Manakala pada Ruang Pameran terdiri daripada beberapa bahagian yang mencerminkan pelbagai peranan penting para guru dalam pelaksanaan sistem pendidikan yang adaptif, inklusif dan berfikiran maju. Ia bukan sahaja mempamerkan peranan guru sebagai pendidik tetapi juga sebagai pemacu perubahan yang memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar.

    Sebanyak lapan buah petak pameran telah menghiasi ruang berkenaan iaitu Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan dan Sistem Perkhidmatan Digital di bawah Kementerian Pendidikan; Sekolah Menengah Sultan Hassan Temburong dan Sekolah Rendah Mentiri mewakili Kluster 1 dan 2; Sekolah Menengah Berakas dan Pusat Tingkatan Enam Sengkurong mewakili Kluster 3 dan 4; Pusat Tingkatan Enam Tutong dan Maktab Anthony Abell mewakili Kluster 5 dan 6; Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU); Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB); gabungan lapan institut pengajian tinggi (IPT); dan Pusat Perkhidmatan Pendidikan Guru British (CfBT).

    Dalam petak pameran Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan dan Sistem Perkhidmatan Digital di bawah Kementerian Pendidikan telah mengetengahkan pameran berkaitan Electronic Application System (EASE) iaitu sistem yang direka bentuk untuk mendigitalkan proses bagi perkhidmatan yang ditawarkan oleh pelbagai jabatan dalam Kementerian Pendidikan. Ia bertujuan untuk kegunaan awam sehingga memberi kemudahan akses kepada perkhidmatan tersebut dan proses perniagaan yang berkesan. MOE Employee Service Hub (MESH) sebuah platform perkhidmatan dalaman khusus untuk kakitangan dalam Kementerian Pendidikan yang memiliki fungsi sebagai hab berpusat untuk pelbagai perkhidmatan dan sumber berkaitan dengan Kementerian Pendidikan turut menjadi pengisian di petak ruang pameran tersebut.

    Antara yang turut menyerikan petak-petak pameran daripada pelajar-pelajar dari sekolah rendah, menengah, institusi vokasional dan teknikal serta pengajian tinggi ialah berkaitan Outdoor Learning Space yang menyediakan pelajar dengan kemahiran abad 21 dan kemahiran teknologi bagi membantu mereka mengharungi cabaran baharu; Masa Depan dengan STEAM: Kunci kepada SDG; Projek Aquacool Suit; Kesedaran Penjagaan Alam Sekitar melalui Seni, Reka Bentuk dan Media; Green Life; dan Jejak Intelek.

    Melalui ruang pameran berkenaan, ia jelas menyerlahkan peranan guru sebagai mentor yang memupuk rasa ingin tahu dan kreativiti pelajar dan juga sebagai pembimbing dalam menilai dan penggunaan teknologi secara kritikal dan bertanggungjawab mempersiapkan pelajar untuk aktif dalam penciptaan dan penyebaran pengetahuan dengan memberi tumpuan kepada pendekatan merentas disiplin dalam STEAM.

    Begitu juga paparan di ruang pameran turut menjelaskan peranan guru sebagai pendukung inklusiviti dan diversiti agar pelajar dapat menghargai kepelbagaian budaya, meningkatkan empati dan tidak ketinggalan juga berperanan sebagai arkitek masa depan yang bertanggungjawab memupuk kecerdasan emosi, ketahanan, kemampuan beradaptasi dalam diri pelajar serta membina aspek kerohanian pelajar melalui penghayatan ajaran Islam yang murni dengan berpegang teguh prinsip negara Melayu Islam Beraja.

    ATAS & BAWAH : Antara pelajar yang menyertai pameran sempena Majlis Sambutan Hari Guru ke-34 di Dewan Persidangan Akhbar, ICC, kelmarin. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda