Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – TCY Motors selaku pengedar kenderaan Peugeot di Brunei, baru-baru ini telah melancarkan SUV kompak terbaharu jenama berkenaan iaitu Peugeot 2008 yang boleh didapati di bilik pamerannya di Kiarong.
Sehubungan itu, pagi tadi beberapa pengamal media tempatan berpeluang merasakan sendiri pengalaman memandu kenderaan yang telah mendapat banyak pujian dan pengiktirafan termasuk sebagai Urban SUV Terbaik 2021 oleh Women’s World Car of the Year awards dan pemenang RedDot dalam rekaan kereta 2020.
Hadir semasa sesi pandu uji kenderaan SUV terlaris di Eropah pada ketika ini tersebut ialah Eksekutif Pemasaran Kanan, John Tan yang turut menerangkan secara terperinci mengenai ciri yang terdapat pada Peugeot 2008 tersebut.
Bagi pasaran negara ini, terdapat dua pilihan enjin tersedia iaitu 130hp/230Nm dengan transmisi automatik enam kelajuan dan 155hp/240Nm dengan lapan kelajuan.
GT-Line trim tertinggi akan dilengkapkan dengan tayar 18 dan 17 inci. Apa yang menarik pada kenderaan terkini itu adalah penggunaan teknologi LED pada bahagian lampu luar di depan dan belakang yang menyerlahkan tanda jenama berkenaan iaitu lion claws.
Orang ramai adalah dialu-alukan hadir bagi menyaksikan secara lebih dekat Peugeot 2008 terbaharu tersebut di bilik pameran TCY Motors.
