Teknologi mampu pengaruhi pembangunan ekonomi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Ekonomi global berada dalam fasa peralihan di mana pengaruh teknologi terus membina momentum dan kemunculan pandemik global telah meningkatkan pengaruhnya.

Trend itu telah memberikan dorongan kepada pembangunan pengaruh syarikat-syarikat permulaan di mana syarikat-syarikat kecil telah menunjukkan keupayaan untuk mengembang dengan cepat melalui kombinasi kreativiti, pendekatan cepat dan fleksibel dalam membuat keputusan serta keupayaan bagi memanfaatkan teknologi.

Pada 2018, dilaporkan sekurang-kurangnya 5,800 syarikat permulaan aktif sedang beroperasi di serata bidang di dalam rantau ASEAN termasuk e-dagang, FinTech, penyelesaian perusahaan, data besar serta perkhidmatan dan barangan pengguna.

Pada tahun lepas, industri syarikat permulaan telah menerima kemasukan aliran modal lebih daripada AS$6 bilion dengan sektor makanan, FinTech serta logistik menarik paling banyak perhatian. Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku pengerusi Darussalam Enterprise dalam ucaptama pada ASEAN-ROK Startup Festival yang berlangsung secara maya, hari ini.

Beliau berkata lagi bahawa seperti yang diketahui semua, penduduk negara-negara anggota ASEAN dan Republik Korea adalah sebuah generasi yang mantap dengan idea yang bernas.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa menyampaikan ucapan pada ASEAN-ROK Startup Festival yang berlangsung secara maya. – Gambar serahan JPM.

Oleh itu, potensi untuk kita untuk bekerjasama dan memupuk idea yang hebat daripada minda kreatif berkenaan menjadi batu asas kepada visi yang kita tetapkan iaitu untuk membina sebuah komuniti ekonomi syarikat permulaan ASEAN-ROK yang menjadi peneraju dalam ekonomi global. Bagi memastikan matlamat itu dapat dicapai, Yang Berhormat Dato menekankan bahawa kita perlu menjana sebuah kluster syarikat permulaan koperasi yang berorientasikan kepada ASEAN dan Republik Korea. Ke arah itu, tambahnya, tiga strategi utama bagi memudahkan kerjasama berkenaan ialah pendidikan dan pertukaran, dasar dan pembaikan kawal selia serta pelaburan dan pertumbuhan bersama.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew berkata bahawa dengan mengutamakan pendidikan dan pertukaran maklumat serta menubuhkan dan mengendalikan sebuah platform atas talian berintegrasi, ia akan membolehkan pertukaran maklumat, rangkaian serta pelaburan di antara syarikat-syarikat permulaan di mana kita boleh menyediakan sebuah asas yang mantap bagi persekitaran yang sihat dan membina bagi syarikat-syarikat permulaan negara.

Beliau juga menyatakan hasrat untuk menyediakan sokongan bagi syarikat-syarikat permulaan akan datang menerusi pelan tindakan dalam memperbaiki dasar dan peraturan bagi menjana laluan yang lebih jelas ke arah kejayaan.

Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Dato berkata bahawa kita perlu bekerjasama untuk menjadikan kluster syarikat permulaan terus berkembang dengan melaksanakan penyelidikan bersama yang berterusan bagi memperbaiki dasar-dasar syarikat permulaan, menanamkan dasar kerjasama ke atas ekosistem syarikat permulaan, perancangan dasar serta berkongsi kandungan sandbox dari setiap negara untuk memastikan tindakan kawal seliaan efektif yang memberikan manfaat kepada semua.

Perkara ketiga, jelas Yang Berhormat Dato adalah pengukuhan ekosistem menerusi pelaburan dan pertumbuhan bersama di mana diambil maklum bahawa pembiayaan merupakan juga satu komponen utama.

Pelaburan dari segi pembangunan kapasiti dan monetari merupakan amat penting bagi sebuah syarikat permulaan bukan sahaja untuk memulakan syarikat tetapi juga bagi berkembang.

Dalam hubungan itu, penubuhan sebuah Dana Pelaburan Bersama ASEAN-ROK dan pemecut bersama (joint accelerators) mampu menyediakan rangsangan yang sangat besar bagi syarikat permulaan untuk berkembang serta boleh me-rangsang inovasi. ASEAN-ROK Startup Festival mengetengahkan syarikat-syarikat permulaan yang berpotensi serta akan mempromosikan kolaborasi dan pertukaran maklumat di kalangan ekosistem syarikat-syarikat permulaan di dalam ASEAN dan Republik Korea.

Acara sehari itu disertai pengasas syarikat permulaan, pembina ekosistem dan pelabur dari ASEAN dan Republik Korea di mana mereka membentangkan pendapat pada sesi perbincangan untuk mengetengahkan cabaran-cabaran terkini dan peluang-peluang dalam ekosistem syarikat permulaan.

ASEAN-ROK Startup Festival menyediakan peluang untuk menjana kolaborasi di antara syarikat-syarikat permulaan ASEAN dan Republik Korea serta mengukuhkan lagi rangkaian masing-masing menerusi perkongsian amalan terbaik dan pertukaran maklumat.