Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teknologi mampu tingkat industri tekstil

    JOHOR BAHRU, 1 April – Usaha pemindahan teknologi maju dari China dijangka mampu mengatasi kekurangan pengeluaran benang dalam industri tekstil Malaysia, kata Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian.

    Sehubungan itu, beliau menyifatkan kerjasama antara kedua-dua negara menerusi penubuhan pengeluar benang – D&Y Textile (M) Sdn Bhd (D&Y Textile) di Taman Perindustrian Sedenak di sini, akan dapat melonjakkan sektor tekstil Malaysia kepada industri berintensifkan modal serta teknologi.

    “Saya difahamkan tiada sebarang kilang pengeluaran benang di Malaysia. Oleh itu, penubuhan D&Y Textile tidak hanya dapat mengisi jurang dalam industri tekstil Malaysia tetapi turut membawa teknologi pembuatan benang serba maju dari China ke negara ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang D&Y Textile di sini, hari ini.

    Bai Tian dalam rangka lawatan tiga hari ke Johor selepas menyandang tugasnya pada November 2017.

    D&Y Textile dimiliki oleh Daiyin Textile dan Garment Group yang berpangkalan di Shandong dan melabur AS$500 juta (RM1.93 bilion) bagi membangunkan kilang seluas 22.56 hektar pada 2013.

    Mengikut laman sesawang syarikat itu, pengeluaran harian purata kilang itu mencecah 120,000 kilogram dengan China dan Malaysia sebagai destinasi pasaran utamanya. Bai berkata, syarikat itu juga setakat ini telah berjaya mewujudkan kira-kira 1,000 pekerjaan untuk anak tempatan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda