Oleh Nur Fadhliana Shaari
JOHOR BAHRU – Teknologi serta aplikasi robotik kini menjadi antara keperluan penting dalam sektor perindustrian termasuk pembuatan, pengeluaran serta perubatan di seluruh dunia.
Perkembangan ini yang turut dapat dilihat di kalangan syarikat tempatan dikatakan berupaya menggantikan sesetengah tugas yang pada masa ini dilakukan manusia. Untuk memperkukuhkan kepakaran teknologi robotik, Malaysia mengambil inisiatif menjalankan beberapa kerjasama dengan negara seperti China yang melabur di negara ini untuk penambahan dan peningkatan kemahiran teknikal serta ilmu berkaitan teknologi ini.
Kerjasama seumpama ini dijangka meningkatkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dalam teknologi robotik berikutan dasar kerajaan yang menggalakkan pemindahan teknologi daripada pelabur luar negara. Pengurus Bahagian Pengeluaran dan Pemasaran Technology Park Malaysia (TPM) Engineering Muhammad Husni Md Zain yang menyokong perkembangan ini menyifatkan perkembangan industri robotik di negara ini sebagai positif.
Pasaran robotik beri peluang rakyat tempatan
Meskipun permintaan untuk robotik di negara ini masih di peringkat permulaan, Muhammad Husni berkata ia sudah mula menampakkan potensi yang membanggakan. “Aplikasi robotik kini menjadi satu elemen terpenting berdasarkan budaya persaingan perniagaan yang mahu menawarkan perkhidmatan atau produk yang terbaik”, beliau memberitahu Bernama dalam satu wawancara baru-baru ini.
Sambil merujuk kepada laporan International Federation of Robotics (IFR), beliau berkata data menunjukkan permintaan dunia terhadap industri berkenaan semakin meningkat. “Laporan IFR menunjukkan permintaan global untuk peralatan robotik pada tahun 2013 berjumlah 168,000 unit, meningkat lima peratus berbanding 2012. IFR juga menyasarkan pasaran industri robotik dunia berkembang enam peratus pada 2017 dan 2018 dengan nilai RM40.61 billion,” katanya.


Menurut Muhammad Husni, aplikasi robotik amat penting dalam era globalisasi masa kini dan dalam pembangunan negara. “Ia akan menjadi elemen utama dalam semua sektor bagi memenuhi keperluan dan standard di peringkat global dalam jangka masa lima tahun akan datang,” tambahnya.
Pembangunan ekonomi negara
Potensi besar teknologi robotik dijangka dapat mengukuhkan ekonomi negara dengan menyumbang kepada daya pengeluaran yang lebih tinggi serta dapat meningkat tahap kecekapan pekerja. Kepentingannya boleh juga mengatasi masalah kebergantungan terhadap sumber tenaga manusia dan dapat mengoptimumkan kemampuan pengeluaran sesebuah industri.
Muhammad Husni menambah, aplikasi robotik turut berpotensi untuk digunakan membuat kerja yang berbahaya, pantas, dan mengurangkan risiko keselamatan di samping dapat menjimatkan kos. Menurut beliau, industri robotik tidak tertumpu di kilang pembuatan seperti pembuatan kereta dan elektronik sahaja.
Malah ia digunakan dalam pelbagai bidang lain seperti penerokaan angkasa lepas, perisikan ketenteraan, alat sokongan untuk orang kurang upaya, alat terapi untuk pesakit dan orang tua serta mesin untuk melakukan kerja-kerja di rumah. Sebagai contoh dalam bidang perubatan, beliau berkata peralatan atau aplikasi robotik boleh membantu manusia untuk menganalisis dan mendiagnosis pelbagai jenis penyakit seperti diagnosis pertumbuhan kanser.
Keperluan ramai pakar tempatan
Beliau berkata sudah sampai masanya Malaysia meningkatkan usaha untuk melahirkan lebih ramai pakar robotik dari peringkat persekolahan lagi, antaranya dengan memberi penekanan pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). “Amat penting untuk negara kita melahirkan generasi yang kenal robot dan tahu macam mana untuk buat programming (berkenaan robot). Kepakaran dalam ‘programming’ menjadikan masyarakat lebih kompetitif,” tambahnya.
Menurut beliau, dua kemahiran iaitu mencipta dan memprogram akan menjadi sangat penting memandangkan pada masa hadapan banyak kerja yang kini dilakukan secara manual akan dikendalikan oleh robot yang diprogram untuk melaksanakan sesuatu tugas.
Secara amnya, industri robotik di negara ini mempunyai peluang lebih besar dengan aplikasi robotik dari bidang perubatan sehingga ke sektor pengeluaran yang melaksanakan automasi dan sistem integrasi bagi menjadikan sesuatu pekerjaan lebih sistematik, cepat dan teratur.
Kelahiran ‘Bandar Robotik Johor’ tidak lama dilihat dapat membantu mencapai impian negara dalam melahirkan lebih ramai pakar yang mahir dalam bidang berkenaan yang selari dengan hasrat kerajaan untuk menjayakan industri 4.0.
Bandar robotik Johor
Dilihat sebagai inisiaif terbaik, bandar robotik yang pertama di Malaysia itu diharap menjadi pemangkin kejayaan kepada semua sektor industri untuk penglibatan yang lebih dominan.
Menurut Muhammad Husni, kewujudan bandar robotik itu bakal memberi manfaat bukan sahaja kepada Johor tetapi juga kepada negara secara keseluruhannya.
Ditanya apakah sumbangan TPM untuk bandar robotik itu, beliau berkata pihaknya sentiasa mengintai peluang untuk menyumbangkan kepakaran tempatan yang sedia ada.
“TPM boleh menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti perunding teknikal, penyedia teknologi automasi serta integrasi sistem dan perkhidmatan juru runding teknikal, reka bentuk, pengeluaran prototaip, pengujian dan pemasangan produk akhir..
Bakal dibangunkan di kawasan tanah seluas 404 hektar dengan nilai pelaburan RM15 bilion oleh JCorp dan Siasun Robot Investment Co. Ltd, ia dijangka dapat melahirkan serta menarik tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam usaha kerajaan negeri mewujudkan peluang pekerjaan pendapatan tinggi dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negeri ini dan negara.
Buat masa ini, TPM sebagai antara peneraju dalam bidang sains dan teknologi di negara ini turut memainkan peranan dalam membangunkan industri robotik di negara ini.
Menerusi Pusat Robotik dan Sistem Pembuatan Fleksibel (CRFMS)nya, TPM menjadi pusat sehenti untuk teknologi robotik negara serta menjadi platform penghasilan produk atau aplikasi berkaitan robotik.
Terkini, pusat robotik TPM itu sedang membangunkan pelbagai teknologi robotik seperti Kenderaan Berpandu Automatik (AGV) serta pelbagai lagi.
Muhammad Husni berkata dengan semua perkembangan itu, TPM yakin dapat terus membantu serta menjadi penghubung kepada semua pihak dalam industri berkenaan dan menjayakan aspirasi kerajaan memajukan pasaran robotik negara pada masa hadapan. – Bernama