Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teknologi satelit baharu mampu kesan sisa plastik

    SYDNEY, 1 NOV – Penyelidik Australia telah membangunkan kaedah baharu untuk mengesan sisa plastik di pantai secara berkesan dari angkasa.

    Diperincikan oleh pasukan dari Universiti RMIT di Melbourne dalam satu kajian yang diterbitkan pada kelmarin, Indeks Sampah Plastik Pantai (BPDI) mengenal pasti plastik di persisiran pantai daripada corak cahaya pantulan yang dikesan oleh satelit semasa ia melalui kawasan.

    Teknologi satelit digunakan secara meluas untuk mengesan sisa plastik di lautan tetapi teknologi itu tidak berkesan untuk pantai kerana plastik bercampur dengan pasir.

    Pasukan itu berkata bahawa kaedah baru yang berkesan untuk persisiran pantai akan meningkatkan usaha pembersihan.

    Jenna Guffogg, ketua penyelidikan, berkata bahawa plastik di pantai boleh memberi kesan pencemaran yang teruk kepada hidupan liar dan jika tidak dialihkan akan terurai kepada mikro dan nano plastik.

    “Plastik boleh disalah anggap sebagai makanan oleh haiwan, boleh menjerat haiwan besar dan haiwan kecil seperti ketam hermit boleh terperangkap di dalam bekas plastik,” katanya.

    “Pantai pulau terpencil mempunyai beberapa rekod kepadatan plastik tertinggi di dunia dan kami juga melihat peningkatan jumlah plastik dan peralatan menangkap ikan terbiar di pesisiran pantai utara Australia,” katanya.

    BPDI mengenal pasti plastik dengan membezakan antara cara pasir, air dan plastik memantulkan cahaya.

    Ia disesuaikan untuk memetakan serpihan plastik di pantai menggunakan data yang dicerap oleh satelit WorldView-3, yang berada di orbit sejajar dengan matahari pada ketinggian 617 kilometer.

    Untuk menguji kaedah itu, penyelidik meletakkan 14 sasaran plastik berukuran kira-kira dua meter persegi di sebuah pantai di negeri Victoria, Australia.

    Setiap sasaran dibuat daripada jenis plastik yang berbeza dan pasukan mendapati BPDI mengatasi tiga indeks sedia ada yang digunakan untuk mengesan plastik di darat dan dalam persekitaran akuatik.  – Xinhua

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda