WELLINGTON, 30 JULAI – Menteri Penerangan Darat New Zealand, Chris Penk mengaktifkan dua piring satelit berukuran 11 meter hari ini, menandakan pencapaian penting dalam teknologi satelit baharu bagi meningkatkan ketepatan sistem kedudukan geografi (GPS), lapor agensi berita Xinhua.
Projek yang dikenali sebagai Southern Positioning Augmentation Network (SouthPAN) itu mampu meningkatkan ketepatan GPS dari lima hingga 10 meter kepada kurang daripada satu meter dan dalam beberapa kes sehingga 10 sentimeter (cm).
Menurut Penk, perkhidmatan SouthPAN akan membantu navigasi penerbangan dan menjadikan pendaratan pesawat lebih selamat ketika jarak penglihatan terhad.
Projek ini juga akan membantu mengurangkan pembatalan dan kelewatan penerbangan yang disebabkan oleh cuaca buruk.
Ketepatan GPS yang dipertingkatkan mempunyai manfaat yang luas dalam bidang pertanian, penerbangan, perhutanan dan pembinaan.
SouthPAN dijangka menyumbang NZ$864 juta (AS$507.51 juta) kepada ekonomi New Zealand dalam tempoh 20 tahun, kata Penk memetik laporan bebas.
Projek kerjasama antara kerajaan New Zealand dan Australia, SouthPAN berpusat di Southland, New Zealand dan Uralla di New South Wales, Australia. – Bernama
