Sunday, December 22, 2024
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teknologi terkini di Kg Ayer

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mac – Setelah kira-kira dua tahun kehilangan hubungan telekomunikasi dan Internet disebabkan cabaran infrastruktur seperti kecurian kabel tembaga dan degradasi, kini penduduk Kampong Ayer boleh menikmati manfaat daripada teknologi terkini yang tidak hanya menyediakan perkhidmatan komunikasi dan hubungan yang diperlukan oleh penduduk mercu tanda ikonik berkenaan tetapi juga memodenkan kehidupan masyarakat di salah sebuah khazanah bernilai negara.

    Dengan menggunakan teknologi Fixed Wireless (Talian Tetap dan Jalur Lebar), Telekom Brunei Berhad (TelBru) memberikan satu lagi hubungan alternatif bagi penduduk Kampong Ayer untuk berhubung dengan menyediakan kelajuan Internet sehingga lebih 100mbps berdasarkan pemantauan percubaan serta membuka pilihan bagi mereka untuk melanggan talian tetap menerusi teknologi yang sama.

    Sehubungan dengan itu, Majlis Pelancaran Talian Tetap dan Jalur Lebar di Kampong Ayer telah diadakan di Galeri Pelancongan dan Kebudayaan Kampong Ayer, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Hadir untuk menyempurnakan pelancaran berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif TelBru, David Kay. Turut hadir ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim, Ketua Kampung Lorong Sikuna, Haji Ahmad bin Haji Bujang, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan TelBru serta jemputan khas.

    David dalam kata alu-aluannya percaya bahawa penduduk Kampong Ayer merupakan penerima utama teknologi Fixed Wireless yang pertama di Negara Brunei Darussalam.

    David menyempurnakan pelancaran Perkhidmatan Fixed Wireless di Kampong Ayer.
    David menyempurnakan pelancaran Perkhidmatan Fixed Wireless di Kampong Ayer.

    Beliau juga berkata, pelancaran itu merupakan satu mercu tanda yang amat penting bagi TelBru dan juga sejarah pembangunan Brunei ke arah menjayakan Wawasan Negara 2035 di mana TelBru akan terus memberi sokongan melalui peningkatan kualiti hidup rakyat Brunei melalui teknologi terkini.

    “Sebagai pembekal telekomunikasi utama di negara ini, TelBru berusaha untuk menjadi inovatif dalam penyelesaian masalah dan memenuhi permintaan orang ramai terutamanya permintaan data dan perhubungan.”

    Oleh itu, kemasukan Fixed Wireless merupakan salah langkah ke hadapan bagi penduduk Kampong Ayer, jelasnya, di mana ia membuka peluang bagi mereka untuk mendapat sambungan komunikasi dengan penduduk lain terutama yang menetap di luar bandar serta akses yang terganggu oleh jarak, kos yang tinggi dan gangguan fizikal daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

    “Seperti yang awda sedia maklum, dua tahun kebelakangan ini merupakan satu cabaran bagi penduduk Kampong Ayer di mana 60 peratus penduduknya tidak mempunyai perkhidmatan talian telefon dan Internet disebabkan perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab.”

    Beliau menambah, tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab berkenaan telah menjejaskan sekolah, agensi penguatkuasaan, keluarga dan perniagaan daripada mendapatkan hubungan atau sambungan Internet yang berterusan.

    “Kami di TelBru percaya bahawa masyarakat harus dilengkapi dengan alat-alat yang diperlukan untuk memajukan masyarakat tersebut. Dalam abad ke-21, alat-alat ini termasuk kemudahan-kemudahan ICT yang dilengkapi dengan harga yang berpatutan.”

    David menyatakan harapan supaya perkhidmatan yang ditawarkan oleh TelBru itu akan dimanfaatkan dengan bijaksana kerana adalah menjadi harapan TelBru bagi penduduk Kampong Ayer untuk menyumbang kepada inisiatif Smart Nation TelBru.

    Teknologi Fixed Wireless dipasang di lokasi strategik yang berdekatan dengan Kampong Ayer di mana perkhidmatan itu meliputi beberapa buah kampung di kawasan berkenaan termasuk Kampung Peramu, Kampung Saba, Kampung Sungai Kebun dan beberapa buah lokasi di Kampung Pandai Besi.

    Inisiatif itu, jelas TelBru, memerlukan kerjasama daripada penduduk setempat di mana Ketua Kampung Lorong Sikuna, Haji Ahmad banyak memberikan sokongan serta memainkan peranan penting dalam kejayaan projek berkenaan.

    Haji Ahmad ketika dalam wawancara ringkas bersama Media Permata selepas pelancaran itu, menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas perkenan bagi pelaksanaan projek Fixed Wireless untuk penduduk Kampong Ayer yang memberikan peluang kepada mereka untuk menikmati perkhidmatan Internet dan hubungan yang sama dengan penduduk di darat.

    Beliau percaya dengan adanya perkhidmatan itu, bukan sahaja akan memudahkan penduduk Kampong Ayer untuk berhubung di antara satu sama lain dan mendapatkan maklumat melalui Internet tetapi ia juga akan memudahkan murid-murid sekolah untuk belajar secara atas talian.

    Beliau berkata bahawa murid-murid sekolah boleh melayari Internet bagi mendapatkan maklumat serta meningkatkan lagi kemahiran mereka untuk menggunakan teknologi terkini.

    Pada masa yang sama, beliau menyatakan hasrat supaya adanya kadar istimewa pelajar atau murid ditawarkan bagi memudahkan lebih ramai pelajar serta murid-murid untuk menikmati kemudahan sambungan Internet berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda